Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, tidak memberikan sebarang pengesahan bahawa dia akan mengurus pasukannya pada musim depan.

Spurs menamatkan saingan liga dalam kelompok empat terbaik untuk tiga musim berturut-turut selepas menewaskan Newcastlet United, sekali gus membuatkan Chelsea yang berada di tangga kelima tidak mampu mengejar mereka.

Pochettino menerima pujian selepas membawa Spurs kembali ke landasan sebenar di pentas Liga Juara-Juara Eropah musim ini walaupun terpaksa beraksi di Wembley sebagai laman sendiri buat sementara waktu ekoran proses pembinaan stadium baru masih berjalan.

Harry Kane menyifatkan kejayaan berada dalam kelompok terbaik sebagai satu pencapaian membanggakan selepas beraksi 38 perlawanan di “luar laman sendiri”.

Bagaimanapun, Pochettino yang masih memiliki baki kontrak selama tiga tahun menjelaskan dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

“Soalan ini saya tidak boleh menjawabnya. Hari ini, saya yakin 100 peratus bahawa memiliki kontrak selama tiga tahun tetapi esok, saya tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Tidak perlu bercakap soal ini sekarang. Dalam bola sepak, segalanya boleh berlaku. Tiada siapa yang pasti dengan jawatannya tetapi saya mempunyai kontrak tiga tahun.

“Seperti apa yang saya katakan di Sepanyol selepas aksi pada Rabu lalu, saya mempunyai kontrak tiga tahun dan pasukan lain harus mencapai persetujuan dengan Daniel Levy, pengerusi Spurs,” kata Pochettino.

Sementara itu, masa depan pertahanan Spurs, Toby Alderweireld, masih belum dapat dipastikan walaupun kontraknya bakal tamat pada akhir musim depan tetapi pengendali dari Argentina itu menjangkakan untuk berbincang dengan pemain Belgium itu minggu depan.

“Sudah tentu perbincangan akan dilakukan minggu depan. Kami akan bersedia untuk bercakap mengenai perkara penting sebaik sahaja aksi musim ini tamat.

“Bermula Isnin depan, kami akan berbincang mengenai apa yang akan berlaku pada musim depan. Itu adalah detik sebenar. Sekarang bukan waktu terbaik untuk bercakap soal individu,” tambah Pochettino.