TOTTENHAM HOTSPUR 4 CRYSTAL PALACE 0

Mauricio Pochettino percaya kemenangan 4-0 Tottenham Hotspur ke atas Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris malam tadi membuktikan bahawa mereka sebelum ini hilang fokus.


Spurs bermula goyah musim ini, namun memaparkan aksi gemilang selepas waktu rehat antarabangsa di Stadium Tottenham Hotspur malam tadi.

Son Heung-min menjaringkan dua gol, setiap satu di antara jaringan sendiri Patrick van Aanholt, manakala Erik Lamela melengkapkan keputusan itu sebelum ke bilik persalinan.

Sebelum ini, Pochettino meluahkan kepada media mengenai kegusarannya terhadap risiko kehilangan Christian Eriksen, Danny Rose, Victor Wanyama, Serge Aurier dan Danny Rose dalam jendela perpindahan lalu sambil masa depan Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen turut tiada kepastian.

Bagaimapun, selepas jendela perpindahan Eropah ditutup, tiada satupun daripada senarai pemain berkenaan meninggalkan pasukan, namun Pochettino menggambarkan kekecewaannya sambil lega pasukannya kini sudah kembali fokus.

"Saya fikir ia (kemenangan ke atas Palace) membuktikan pasukan ini kehilangan fokus (sebelum ini).

"Apabila pasukan hilang fokus, amat sukar untuk beraksi seperti yang anda mahukan.

"Saya tidak merungut atau menyalahkan sesiapa.

"Fokusnya bukan untuk bermain bola sepak dan bukan mencuba untuk meningkat.

"Fokus itu bukan seperti yang kami harapkan dan amat sukar untuk beraksi baik dengan cara itu.

"Sudah pasti kami memiliki kualiti, cukup untuk memenangi perlawanan tanpa fokus, namun apabila anda fokus, ia akan kelihatan, seperti dalam babak pertama, keamatan dan konsentrasi.

"Kami tahu apa yang perlu kami lakukan dan apabila anda mampu melakukannya, kualiti yang kami ada semakin menyerlah.

"Kami memiliki kualiti yang hebat dalam skuad ini, pemain yang luar biasa.

"Jika kami tunjukkan keamatan seperti itu dalam setiap perlawanan, sudah pasti kami mampu merebut sesuatu yang besar," katanya.

Aurier bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sejak tiba daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017 dan hanya mula mendapat peluang berkenaan ketika bertemu Palace selepas bekas pertahanan kanan, Kieran Trippier, menyertai Atletico Madrid.

Pertahanan sayap Ivory Coast itu mencuri tumpuan bersama skuad The Eagles, namun Pochettino berkata ia terpulang kepada Aurier dan rakan sepasukannya untuk membuktikan ketekalan.

"Dia amat gembira, kami turut gembira, saya fikir pretasinya amat baik.

"Babak pertama amat hebat, konsentrasi dan fokusnya.

"Sekarang, dia perlu membuktikannya dengan lebih tekal.

"Bukan hanya satu perlawanan dan kemudian kembali hilang fokus dan keamatan.

"Itulah kunci dalam pasukan kami, bukan hanya untuk dia tetapi buat semua pemain.

"Setiap pemain perlu tekal dan memahami bahawa setiap kali kami mahu bersaing, kami perlu memberikan yang terbaik.

"Berikan yang terbaik secara kolektif dan sudah pasti kami mempunyai kualiti untuk menewaskan mana-mana pasukan," tambahnya.