Neil Critchley tidak pasti sama ada Jurgen Klopp akan memberikan sebarang input menjelang perlawanan ulangan dengan Shrewsbury Town dalam Piala FA awal pagi esok tetapi berterima kasih di atas sokongan yang diberikan pengurus berbangsa Jerman itu kepada pasukan mudanya.

Klopp menyerahkan tanggungjawabnya kepada pengurus skuad B-23 Liverpool, Critchley, untuk menghadapi perlawanan ulangan di Anfield itu memandangkan tiada pemain senior akan terlibat kerana ia berlangsung pada waktu rehat pertengahan musim, yang kali pertama diperkenalkan.

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu mengundang kritikan kerana melepaskan tanggungjawabnya kepada Critchley, lebih-lebih lagi selepas Shrewsbury bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 ketika menentang pasukan utama dalam perlawanan sebelumnya.

Critchley, yang menyaksikan pasukannya tewas 0-5 kepada Aston Villa dalam suku akhir Piala EFL -- ketika pasukan utama menjulang Piala Dunia Kelab, Disember lalu -- mempertahankan pendirian Klopp itu menjelang perlawanan dengan pasukan Liga Satu (divisyen tiga) itu.

"Saya fikir pengurus sudah menjelaskan segala-galanya dengan kenyataan dan ucapannya mengenai perlawanan ini.

"Dia memberikan diri saya, staf dan pemain sokongan yang luar biasa.

"Saya boleh berbincang dengannya pada bila-bila masa yang saya mahu.

"Dia menyokong pemain-pemain muda seperti yang telah diperlihatkannya musim ini.

"Jadi, kehadirannya, walaupun dia tidak berada di sana, akan tetap dirasai pemain muda ini dan diri saya juga," katanya.

Critchley enggan mendedahkan sama ada dia akan berbincang dengan Klopp pada malam perlawanan itu.

"Saya tidak tahu, saya tidak perlu memikirkannya buat masa ini.

"Dia melakukannya ketika kami berdepan Aston Villa kerana berasakan ia sesuatu yang betul untuk dilakukan.

"Kita akan lihat tetapi saya tidak mahu membocorkan terlalu banyak maklumat tentang apa yang akan kami lakukan sebelum dan selepas waktu rehat.

"Kerana saya boleh jamin, saya juga tidak tahu," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa