Liverpool terselamat daripada dibatalkan penyertaan dalam Piala Liga Inggeris (EFL) selepas didapati menurunkan pemain yang tidak layak beraksi.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menewaskan MK Dons 2-0 dalam perlawanan pusingan ketiga, 25 September lalu.

The Reds kemudian didapati telah menurunkan pemain yang tidak mendapat pelepasan antarabangsa, iaitu Pedro Chirivella -- pemain gantian yang masuk menggantikan Naby Keita dalam babak kedua -- selepas pulang daripada tempoh pinjaman bersama kelab Sepanyol, Extremadura.

Liverpool berpotensi untuk dibatalkan penyertaan dalam kejohanan itu, namun pihak penganjur berasakan denda yang dikenakan adalah hukuman yang memadai.

EFL mengenakan penalti berjumlah £200,000 (RM1.03 juta) buat juara Eropah itu dengan separuh daripada jumlah itu akan ditangguhkan hingga penghujung kempen 2020-21.

Dalam satu kenyataan, EFL mengumumkan: "Setelah mengkaji semula segala bukti dengan menyeluruh, pihak lembaga memutuskan bahawa adalah tidak wajar untuk menyingkirkan kelab itu daripada kejohanan disebabkan beberapa faktor.

"Secara khususnya, pihak lembaga mendapati kelab itu telah meminta kebenaran daripada Persatuan Bolasepak England (FA) dalam mendapatkan pelepasan antarabangsa sebelum permulaan musim ini.

"Kelab itu dapat menyenaraikan pemain itu dalam perlawanan Liga Perdana Dua (di bawah peraturan Liga Perdana), yang menyebabkan kesalahan itu tidak dapat dikesan sehingga kelab itu melaporkan isu berkenaan kepada EFL dan Liga Perdana selepas perlawanan dengan MK Dons."

Liverpool akan berdepan Arsenal dalam pusingan keempat di laman sendiri hujung bulan ini.