BURTON ALBION 0 MANCHESTER CITY 1

Manchester City melengkapkan reputasi sebagai juara bertahan selepas mara ke final Piala Liga Inggeris (EFL) setelah menundukkan Burton Albion 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Pirelli, Staffordshire, awal pagi tadi.


Selepas memperoleh kemenangan sembilan gol tanpa balas dalam pertemuan pertama dua minggu lalu, City turun beraksi tanpa sebarang tekanan sebelum mengesahkan kemaraan menerusi kelebihan agregat 10-0 -- rekod kemenangan terbesar dalam sejarah penganjuran Piala EFL.

Disebabkan kelebihan itu, The Citizens dilihat mengendurkan rentak permainan mereka persis perlawanan persahabatan pra-musim dengan Sergio Aguero meledak gol tunggal perlawanan dalam babak pertama ke atas pasukan Liga Satu (divisyen tiga) itu.

Jaringan itu sudah cukup untuk menjamin laluan City ke final kedua berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan bertemu sama ada Tottenham Hotspur atau Chelsea dalam perhitungan terakhir di Wembley, 24 Februari ini.

Riyad Mahrez melakukan percubaan rendah dari sudut sukar sebelum dia membantu jaringan pada minit ke-26 itu.

Pemain sayap kebangsaan Algeria itu mengejar pantas hantaran gemilang Kevin De Bruyne sebelum melakukan hantaran ke belakang yang disudahkan Aguero.

City dilihat terlalu santai dalam perlawanan itu dan percubaan seterusnya hanya tiba pada minit ke-53 dengan percubaan jarak dekat Fabian Delph dinafikan Bradley Collins.

Aguero berpeluang menggandakan jaringannya, namun dia mempersia-siakan percubaan dari jarak lapan ela sebelum Benjamin Mendy masuk menggantikan De Bruyne bagi melakukan penampilan pertama sejak direhatkan selama dua bulan akibat kecederaan.

Burton kemudian berpeluang meraih jaringan, namun Eric Garcia menyelamatkan bola sepakan Will Miller yang hampir-hampir melepasi garisan gol.