Anthony Martial percaya pertandingan menjaringkan gol dengan Marcus Rashford dalam sesi latihan memberikan kelebihan kepada Manchester United musim ini.

Penghijrahan Romelu Lukaku menyertai Inter membuka peluang kepada Rashford dan Martial, yang meledak dua gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas bertemu Chelsea dan Wolves.

Martial kembali mendapatkan jersi nombor sembilan dan menyerlah dalam jentera serangan Ole Gunnar Solskjaer, bergandingan dengan cemerlang bersama Rashford.

"Dalam sesi latihan, saya dan Rashford bertanding menjaringkan gol," kata Martial kepada Sky Sports.

"Kami menilai siapa yang memiliki sentuhan penyudah yang baik dan bilangan jaringan yang diledak.

"Siapa yang menang? Kadangkala dia, kadangkala saya. Dalam perlawanan, Rashford gemar beraksi di bahagian tengah dan kami kerap melakukan pertukaran posisi.

"Ia membantu kami untuk memecah kebuntuan pertahanan lawan dan saya berharap kami mampu melakukannya secara konsisten musim ini.
Martial menyertai barisan pemain yang meluahkan solidariti bersama Paul Pogba selepas rakan senegaranya itu menjadi mangsa berprofil tinggi terbaru berdepan serangan perkauman di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 1-1 di Molineux.

"Ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dibuang dalam kalangan masyarakat. Tiada apa yang kami mampu lakukan di atas padang terhadap isu ini.

"Pemain bola sepak dibarisi pemain daripada bangsa dan warna kulit yang berbeza.

"Di Perancis, ungkapannya ialah 'kami semua sama'. Penggantungan harus diberikan kepada mereka yang tidak memandang berat terhadap isu ini.

"Orang ramai datang ke stadium bola sepak mahu menikmati perlawanan, bukan mahu mencetuskan masalah perkauman."

United bakal berjumpa dengan wakil daripada Twitter bagi membincangkan serta mencari jalan penyelesaian terhadap serangan perkauman yang dilancarkan di media sosial.