Manchester United membuatkan Ole Gunnar Solskjaer berdepan masalah kekangan pemain berikutan langkah perpindahan kelab itu, kata Bryan Robson.

Selepas ditundukkan Newcastle United dalam aksi terakhir, situasi itu meletakkan The Red Devils di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan dua mata di atas zon penyingkiran.

Solskjaer telah melalui prestasi buruk sejak pelantikannya secara tetap Mac lalu dan sepanjang tempoh itu, United hanya memungut 17 mata daripada 16 perlawanan liga.

Skuad asuhannya, bagaimanapun, diperkuatkan dengan kehadiran Harry Maguire, Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka, tetapi pemain senior termasuk Romelu Lukaku, Alexis Sanchez, Ander Herrera dan Chris Smalling telah dilepaskan.

Robson, yang mengetuai kelab itu memenangi dua gelaran liga, berasakan urusan perpindahan itu tidak mencukupi dan bertindak balas berhubung sama ada United wajar mengekalkan Solskjaer, dia berkata: "Ya, saya setuju.

"Ini kerana semua orang mahu mengetengahkan dasar menggalakkan pemain-pemain muda di peringkat akademi. Itulah yang sedang dilakukan United.

"Saya fikir mereka mungkin membenarkan terlalu ramai pemain berpengalaman untuk meninggalkan kelab itu tanpa menggantikan mereka. Itulah sebabnya kehilangan mereka itu meletakkan United dalam situasi kekurangan pemain."

United bergelut untuk menghasilkan gol sejak kemenangan 4-0 ke atas Chelsea dalam aksi pembukaan EPL.

Penyerang England, Marcus Rashford, menyumbat dua gol dalam kemenangan itu tetapi sejak itu, dia hanya menjaringkan satu gol buat kelab dan negara, prestasinya itu kini membayangi keyakinannya.

Robson, yang ditemui dalam majlis Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak yang ditaja oleh William Hill, berpendapat terdapat aspek dalam permainan pemain berusia 21 tahun itu yang harus berkembang.

"Saya fikir pengetahuannya masih mentah untuk selok-belok sebagai penyerang tengah," tambahnya.

"Saya fikir secara semula jadinya dia gemar menyusup dari sebelah kiri, malah di sebelah kanan juga.

"Tetapi saya berasakan di kedudukan tengah menyerang, Marcus perlu tahu mengenali posisi itu dengan lebih baik lagi di mana ia tidak semestinya dia perlu berlari . Ia soal membina permainan dan menghidupkan gerakan pemain tengah.

"Itulah corak permainan yang perlu ditingkatkannya."