Permulaan lembab Man United dihukum

Oleh Staff Writer 11 Mac 2019 3561
Permulaan lembab Man United dihukum
ARSENAL 2 MANCHESTER UNITED 0

Ole Gunnar Solskjaer berasakan Manchester United terpaksa membayar dengan harga yang mahal dan terlepas peluang menarik selepas tumbang 0-2 kepada Arsenal, awal pagi tadi. 


United memenangi kesemua sembilan perlawanan mereka di bawah kendalian pengurus sementara, Solskjaer, sehinggalah kunjungan mereka ke Stadium Emirates apabila jaringan Granit Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang mencetuskan potensi perlumbaan sengit merebut tangga keempat.

Xhaka membuka jaringan selepas 12 minit permainan menerusi rembatan deras dari jarak 30 ela untuk menewaskan David de Gea yang tersilap langkah sementara dua percubaan United terkena palang dan tiang sebelum babak pertama berakhir. 

The Red Devils gagal memberikan tekanan awal dalam babak kedua dan mereka akhirnya dihukum Aubameyang menerusi tendangan penalti selepas Alexandre Lacazette dijatuhkan Fred.

Meskipun Solskjaer tidak berpuas hati dengan penalti yang dihadiahkan, namun beliau berkata barisan pemainnya sendiri yang membiarkan diri mereka dalam bahaya ekoran kegagalan memberikan tekanan dalam perlawanan, hanya empat hari selepas mencatat kemenangan dramatik ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL). 

"Kami bermula perlahan," katanya kepada Sky Sports. "Mungkin ia adalah kesan lanjutan daripada aksi pada Khamis lalu. Kami mencipta peluang -- apabila mereka menyumbat gol pertama, ia bertukar menjadi perlawanan yang berbeza.

"Kami mencipta lebih banyak peluang berbanding ketika kami mengalahkan mereka dalam saingan Piala FA. Kami bermain lebih baik daripada yang kami lakukan pada masa itu tetapi itu tidak membantu apabila keputusan yang diraih seperti ini.

"Adakalanya ia boleh berlaku. Dua percubaan kami terkena tiang dan palang, bahkan kami memiliki empat atau lima peluang yang sangat berharga. Ada hari tertentu, penyerang akan memanfaatkan peluang tersebut, kadangkala tidak. 

"Saya tidak ingat tentang apa-apa aksi menyelamat yang perlu dilakukan oleh David. Mengenai penalti itu -- saya berasakan pengadil pasti akan menyesal sebaik dia melihat rakamannya, saya tidak fikir ia adalah penalti. Mereka langsung tidak mengucar-kacirkan kami," tambahnya.

Solskjaer enggan menyalahkan De Gea atas gol pembukaan Xhaka, sebaliknya mendakwa rakan sepasukannya harus menutup pemain tengah dengan lebih cepat.

"Dia kecewa setiap kali melepaskan gol kerana dia penjaga gawang handalan," katanya. "Bola meluru dengan sangat pelik dan apabila anda melihatnya rakamannya, ia kelihatan seperti menghala ke kiri David tetapi melencong.

"Bagaimanapun, kami bermula lembab. Dalam tempoh 15 minit pertama, kami terlalu lembab untuk menyaingi mereka, kami tidak pernah meletakkan mereka di bawah tekanan dan dia mempunyai masa untuk melepaskan tendangan. 

"Ini salah satu daripada mereka yang kami tidak benar-benar bersedia. Salah satu daripadanya adalah seperti hari ini.

"Kami perlu bangkit dan memberikan reaksi yang baik -- kami akan menghadapi Wolves dalam suku akhir Piala FA. Ia adalah satu perlawanan yang baik untuk kami melihat ke hadapan."

United perlu menangani pelbagai masalah kecederaan baru-baru ini, namun Solskjaer tetap tidak akan menggunakan keletihan sebagai alasan mereka tewas kepada Arsenal. 

"Tidak sama sekali," katanya. "Jarangan pertama mengubah perlawanan ini. Mereka menjaringkan gol pertama dan memberikan kami kesempatan menguasai bola lebih lama. 

"Saya fikir kami telah mencipta beberapa peluang yang hebat tetapi kami tidak memanfaatkannya. Kadang-kadang, sebagai penyerang, saya boleh menghidu peluang yang akan terlepas."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen