Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berpendapat pengadil perlawanan, Stuart Attwell, gagal mengawal corak permainan fizikal yang dipamerkan Burnley sehingga menyumbang kepada kecederaan pertahanan The Reds, Joe Gomez.

Pemain England itu terpaksa diusung keluar pada minit ke-23 di Turf Moor selepas halangan keras daripada kapten, Ben Mee, menyebabkan Gomez terjatuh di papan iklan.

Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1, sekali gus mencatat rekod baru kelab, meraih mata paling banyak dalam 15 perlawanan hasil jaringan daripada James Milner, Roberto Firmino dan Xherdan Shaqiri.

Namun, Klopp tidak gembira dengan cara Attwell mengendalikan aksi awal pagi tadi.

"Cabaran bermula sejak awal perlawanan di atas permukaan padang basah dan pengadil sepatutnya mengatakan sesuatu lebih awal," kata Klopp.

"Saya memberitahunya jika dia tidak mengingatkan pemain, lawan akan terus melakukan aksi sama sehingga sesuatu berlaku.

"Kecederaan adalah sesuatu yang sukar. Beberapa halangan awal tampak baik dan ia sebahagian daripada bola sepak tetapi menyebabkan sesetengah situasi. Apa yang boleh saya lakukan tetapi Gomez telah cedera."

Selepas aksi awal pagi tadi, Klopp memberikan perkembangan lanjut mengenai kecederaan Gomez tatkala dia khuatir ia akan menjadi lebih serius.

"Saya sedar saya tidak banyak memiliki kawan tetapi itu bukan tugas saya. Selepas halangan pertama, saya tidak tahu siapa lakukannya dari jarak enam atau tujuh ela mendapatkan bola dan semua orang sukakannya. Saya memberitahu pengadil, 'ia tidak salah tetapi tolong beritahu bahawa mereka tidak boleh melakukannya'.

"Tiada siapa menghakimi aksi itu. Anda mendapatkan bola, bagus tetapi ia seperti boling kerana anda turut menerjah pemain. Ia berlaku empat atau lima kali. Semua orang sukakannya tetapi Gomez cedera. Kami menghantarnya pulang dan tidak tahu apa perkembangannya selain kecederaan buku lali."

Burnley meraih gol pembukaan menerusi Jack Cork tatkala jaringan itu tampak seperti dalam keadaan offsaid ketika menyambut bola hasil perebutan Alisson dan Ashley Barnes.

"Saya tidak melihatnya," tambah Klopp.

"Saya tidak yakin 100 peratus tetapi Alisson memberitahu saya dia telah mendapatkan bola. Saya tidak tahu apa maksudnya dan perlu menyaksikan semula rakaman video."

Sebelum perlawanan, Liverpool melakukan tujuh pertukaran tetapi kemasukan Firmino dan Mohamed Salah ketika kedudukan 1-1 menjadi kunci utama kemenangan The Reds untuk kembali merapatkan jurang dua mata dengan Manchester City di puncak liga.

"Ramai pemain perlukan lebih masa untuk memanaskan badan dan ia adil," ujar Klopp.

"Mereka menjaringkan gol daripada situasi bola mati, sesuatu yang tidak menjadikan hidup lebih mudah.

"Bangkit menentang mereka adalah satu pengecualian. Saya sangat sukakannya dan persembahan hari ini sangat hebat."