Sadio Mane sah terlepas pertembungan Perisai Komuniti untuk memperkuatkan Liverpool berdepan Manchester City susulan pengurus, Jurgen Klopp, mengesahkan bintang itu akan kembali menjalani latihan beberapa hari sebelum pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara (UCL), Mane kemudian mengetuai Senegal untuk mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 di Mesir, di mana mereka tunduk 1-0 kepada Algeria dalam perlawanan akhir.

Musim luar yang sibuk buat penyerang itu bermakna dia bakal terlepas aksi Piala Sumbangsih pada 4 Ogos ini, hanya empat hari sebelum aksi pembukaan liga berdepan Norwich City.

"Dia berada dalam keadaan baik," kata Klopp kepada laman sesawang kelab itu selepas kekalahan 1-2 kepada Sevilla, pagi tadi.

"Mereka mengadakan perayaan di Senegal dan saya gembira dengan situasi itu kerana ia menunjukkan bahawa mereka menghormati saingan berkenaan sambil melihat tempat kedua sebagai satu kejayaan, ia sesuatu yang bagus.

"Dia kini sedang bercuti tetapi bukanlah dalam tempoh yang lama, dia akan kembali pada 5 Ogos, iaitu selepas perlawanan kami dengan Manchester City.

"Ada empat atau lima hari lagi untuknya bersiap menghadapi Norwich, 10 hari kemudian kami akan berhitung dengan Chelsea pula dalam perebutan Piala Super UEFA."

Mane menyumbang 26 gol dalam 50 perlawanan untuk Liverpool musim lalu.