Pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira, bertekad untuk memenangi tempat dalam skuad utama kendalian Jose Mourinho selepas mengharungi tempoh pinjaman yang penting bersama Valencia.

Pemain berusia 22 tahun itu dipinjamkan ke Mestalla ketika jendela perpindahan tahun lalu dan melakukan 23 penampilan dalam LaLiga.

Mourinho mengkritik langkah Pereira untuk berhijrah ketika itu dan kini timbul persoalan sama ada pemain skuad belia United itu berpeluang untuk menarik perhatiannya.

Bagaimanapun, Pereira menyifatkan tempohnya di Sepanyol sebagai sesuatu yang positif dan kini fokus untuk mendapatkan tempat dalam kem United sebelum aksi Liga Perdana Inggeris bermula bulan depan.

"Aksi pra-musim kali ini sangat penting buat pasukan. Kami perlu mempersiapkan diri untuk cabaran yang menanti dan saya melakukan yang terbaik untuk meraih peluang serta membuktikan bahawa saya telah bersedia," ujarnya.

Pereira menjangkakan dia akan beraksi di bahagian tengah buat United selepas berbincang dengan Mourinho mengenai posisi yang diinginkan.

Kini, dia melakukan yang terbaik untuk belajar daripada pembantu jurulatih, Michael Carrick, yang bersara pada musim lalu selepas 12 tahun bergelar pemain di Old Trafford.

"Pengurus bertanya mengenai posisi yang saya gemari dan saya memberitahunya di mana sahaja tempat yang dia inginkan," katanya.

"Kini, saya bertindak selaku pemain nombor enam. Saya akan cuba yang terbaik dan sudah tentu semua orang membantu saya, termasuk pengurus, melalui cara memberitahu apa yang perlu saya lakukan.

"Carrick juga membantu ketika sesi latihan dan ia sangat penting. Ia bukan sahaja mereka (Mourinho dan Carrick) tetapi semua jurulatih. Mereka banyak membantu saya dan setiap hari, saya mempelajari perkara baru.

"Carrick merupakan salah seorang pemain tengah terbaik dunia dan antara yang terhebat pernah dimiliki United. Dia memberikan saya ilmu, memberitahu apa yang perlu dilakukan sewaktu latihan dan ia memudahkan saya. Tidak sukar untuk belajar daripadanya."