MANCHESTER CITY 0 WOLVES 2

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata masih ada banyak perlawanan untuk dihadapi selepas anak buahnya memberikan kelebihan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool susulan tewas mengejut di tangan Wolverhampton Wanderers malam tadi.


The Reds -- yang menjadi naib juara musim lalu di belakang City -- melebarkan kelebihan kepada lapan mata selepas mencatat kemenangan 2-1 pada minit akhir ketika berdepan Leicester City, kelmarin.

City gagal merapatkan jurang mata di Etihad semalam selepas dua jaringan Adama Traore membolehkan Wolves melakar kejutan meraih tiga mata.

Mereka seharusnya mencatat kemenangan lebih besar sekiranya skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu menggunakan kesempatan ke atas benteng tuan rumah yang rapuh dalam babak pertama.

Namun, Guardiola mempertahankan anak buahnya dan percaya masih ada masa untuk juara bertahan itu mengejar cita-cita bergelar juara liga buat kali ketiga berturut-turut.

"Masih ada banyak perlawanan," katanya.

"Kami tewas di tangan pasukan yang bagus, sangat tersusun, kuat dalam perebutan bola di udara dan pantas dalam serangan balas.

"Saya kenal pemain saya. Mereka berusaha dengan baik dan mampu melakukannya. Apa yang berlaku sudah berlalu. Kebanyakan pasukan yang bergelar juara sebelum ini gagal mengekalkannya.

"Hari ini, kami tidak berada pada tahap seperti biasa. Aksi sebelum ini sangat baik tetapi jurangnya besar. Liverpool tidak mencicirkan mata tetapi kami masih dalam bulan Oktober. Masih ada banyak perlawanan dan kejohanan," tambahnya.

Ketiadaan Aymeric Laporte dan John Stones bermakna Guardiola sekali lagi terpaksa mempertaruhkan Nicolas Otamendi dan tonggak tengah, Fernandinho, di depan penjaga gol.

Mereka sering terperangkap dengan serangan balas daripada Wolves sambil Otamendi kerap melakukan kesilapan dalam hantaran sepanjang 90 minit permainan.

Guardiola tetap mempertahankan gandingan itu dan menegaskan mereka tidak dibantu oleh pemain di depan mereka.

"Mereka agak bagus," katanya.

"Mereka bergelut kerana kami hilang kawalan di depan mereka. Tiada bek tengah yang boleh bertahan dalam keadaan seperti itu. Mereka bagus."