Sekumpulan peminat West Ham meluahkan perasaan mereka terhadap hierarki kelab itu tengah malam tadi dengan menaikkan sepanduk kontroversi di Anfield yang merujuk kepada Adolf Hitler.

Pasukan bimbingan David Moyes itu dibelasah Liverpool 4-1, sekali gus meninggalkan The Hammers hanya tiga mata daripada zon penyingkiran Liga Perdana.

Pada aksi hujung minggu sempena ulang tahun ke-25 kematian legenda kelab, Bobby Moore, beberapa peminat berpaling kepada isu lain dengan memaparkan sepanduk yang tertera: 'Brady, Sullivan dan Gold, anda telah melakukan kerosakan yang lebih teruk di timur London berbanding Adolf Hitler. Berambus berambus berambus'."

Kenyataan itu merujuk kepada naib pengerusi, Karren Brady, dan pemilik bersama, David Sullivan dan David Gold, yang mendapat kritikan hebat susulan cara mereka mengurus kelab itu.

Untuk rekod, West Ham bermain di timur London yang merupakan sasaran pengeboman semasa Perang Dunia Kedua.

Kegagalan The Hammers di lapangan dan dalam pasaran perpindahan telah membawa pergolakan yang semakin meningkat dalam kalangan penyokong sementara kelab memecat ketua peninjau bakat, Tony Henry, berhubung siasatan melakukan diskriminasi perkauman.

Awal minggu ini, Persatuan Bolasepak (FA) England mendakwa West Ham atas isu berkaitan doping dengan kelab itu memaklumkan ia adalah berkaitan kesilapan pentadbiran.