Arsene Wenger "sangat agresif" ketika dia mempersoalkan integriti pengadil, Mike Dean, dalam insiden yang menyaksikan pengurus Arsenal itu digantung tiga perlawanan.

Persatuan Bola Sepak (FA) England menerbitkan alasan bertulisnya terhadap penggantungan Wenger itu, yang menyusul selepas mereka seri 1-1 di West Brom pada 31 Disember lalu.

Wenger berang dengan penalti yang diberikan selepas bola didakwa terkena tangan Calum Chambers, sebelum Jay Rodriguez menggunakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol penyamaan buat West Bro pada minit ke-89.

Ia mendorong pengurus Perancis itu -- turut didenda £40,000 (RM218,958) di atas tindakannya -- meluru ke arah Dean ketika dia kembali ke bilik persalinannya sambil dia menggelar pegawai itu sebagai "memalukan".

Bercakap mengenai insiden pasca perlawanan itu, Dean menyatakan: "Ketika kami memasuki bilik persalinan selepas perlawanan, Wenger berdiri di pintu yang terletak di belakang kami lalu memberitahu pegawai keselamatan West Brom agar membiarkannya masuk.

"Dia sangat agresif, dia menghimpit saya, bersikap agresif kepada saya dengan mengatakan 'anda tidak jujur' dalam banyak situasi.

"Saya menjawab, 'jadi anda menggelar saya menipu', lalu dia menjawab, 'Saya mengekalkan apa yang saya katakan, anda tidak jujur'. Dia kemudian berkata lagi, 'anda telah melakukan ini kepada kami berkali-kali, anda sepatutnya profesional, anda seorang yang memalukan'.

"Dia kemudian dibawa keluar dari bilik oleh pegawai keselamatan West Brom," tambahnya.