Riyad Mahrez akhirnya melengkapkan perpindahan ke Manchester City dari Leicester City semalam setelah lama diperkatakan.

Mahrez dikaitkan dengan penghijrahan ke Etihad pada Januari lalu susulan kecederaan yang dihadapi Leroy Sane tetapi ia gagal diselesaikan.

City kini telah memecahkan rekod perpindahan kelab buat kali kedua dalam 2018 selepas membayar GBP60 juta (RM320 juta) untuk membawa masuk Mahrez, mengatasi bayaran sewaktu mendapatkan khidmat Aymeric Laporte.

Kehadiran Laporte dari Athletic Bilbao yang bernilai GBP57 juta (RM304 juta) sebelum itu telah memadamkan jumlah GBP55 juta (RM293 juta) yang dikeluarkan ketika mendapatkan khidmat Kevin De Bruyne dari Wolfsburg pada 2015.

"Mahrez adalah pemain yang berbakat. Dia mengatasi pertahanan dan mencipta ruang," kata Pengarah Bola Sepak Manchester City, Txiki Begiristain.

"Selama beberapa tahun, dia telah membuktikannya status selaku salah seorang pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

"Kami pasti dia akan menambah kualiti dalam jentera serangan kami."

Kontrak Mahrez selama lima tahun bersama City ternyata memberikan pilihan serangan yang baik buat pengurus, Pep Guardiola.

Dia akan bersaing dengan Sane, Raheem Sterling dan Bernardo Silva untuk barisan serangan City sambil dua penyerang, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero, juga tersenarai.

"Saya amat teruja menyertai City dan beraksi dengan pasukan bimbingan Guardiola ini," ujar Mahrez.

"Melihat mereka dari jauh memberikan keyakinan. Guardiola komited dalam menerapkan permainan menyerang, di mana ia sempurna buat saya dan prestasi City pada musim lalu sangat hebat, membuatkan saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan.

"Saya rasa kami mampu meraih kejayaan di masa akan datang dan percaya permainan saya akan berkembang di bawah pengurusan Guardiola," ujarnya.

Mahrez adalah tonggak utama dalam skuad The Foxes yang menggegarkan dunia setelah memenangi kejuaraan liga musim 2015/16 serta menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA selepas menjaringkan 17 gol.