Ander Herrera percaya penjaga gol sensasi yang menjadi buruan Real Madrid, David De Gea, akan kekal bersama Manchester United berdasarkan sokongan yang diterima daripada peminat di Old Trafford.

Penjaga gol Sepanyol itu terus dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu selepas proses itu gagal pada 2015.

Situasi mengenai De Gea kembali hangat diperkatakan selepas tamat Piala Dunia sambil penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, turut menjadi sasaran skuad Los Blancos itu.

Bagaimanapun, rakan sepasukan De Gea di United, Herrera, percaya kesetiaan penyokong The Red Devils akan membuatkan penjaga gol itu kekal.

"Saya masih ingat akan musim panas yang sukar, di mana semua orang bercakap tentang Real Madrid dan dia beraksi untuk perlawanan pertama di Old Trafford. Semua orang menyanyikan namanya dan dia memberitahu saya 'ini sangat hebat, mereka adalah yang terbaik'," kata Herrera.

"Dia kekal tenang tetapi dia yang terbaik dan akan menunjukkannya sekali lagi. De Gea adalah penjaga gol terbaik yang pernah saya saksikan dalam hidup dan kami lebih berpeluang cerah untuk memenangi kejuaraan apabila bersamanya."

De Gea dikritik hebat susulan penyingkiran awal Sepanyol dalam Piala Dunia, dengan mencatat hanya satu halangan di sepanjang kejohanan, termasuk melepaskan tiga buat Cristiano Ronaldo ketika aksi pembukaan menentang Portugal.

Bagaimanapun, Herrera mempertahankan rakan sepasukannya itu dan menegaskan De Gea akan melenyapkan segala kritikan apabila Liga Perdana Inggeris bermula.

"Dia sangat kuat. Saya masih ingat pada waktu saya di Sepanyol dan dia menyertai United. Beberapa bulan yang pertama, dia mengalami kesukaran tetapi muncul selaku penjaga gol terbaik di dunia dalam masa empat tahun.

"Kami bernasib baik kerana memilikinya kerana dia adalah penjaga gol terbaik dunia. Saya tidak hiraukan apa yang diperkatakan tentangnya.

"Apabila saya tidak bermain dengan baik, saya tidak menerima kritikan sebegitu kerana saya bukan salah seorang pemain terbaik dunia dan situasi berbeza dilalui De Gea. Dia akan dapat mengatasinya."