Rio Ferdinand percaya Jose Mourinho telah melakukan apa yang terbaik sebelum terpaksa meninggalkan Manchester United.

Mourinho, yang memenangi tiga trofi Liga Perdana Inggeris ketika mengendalikan Chelsea dalam dua tempoh berbeza, dipecat United selepas mengharungi 17 perlawanan liga sebelum genap tiga tahun menguruskan The Red Devils tatkala juara 20 kali itu kini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Sebelum ini, Ferdinand beberapa kali telah mengkritik layanan Mourinho terhadap pemain muda United setelah pengendali dari Portugal itu mengatakan Luke Shaw, Anthony Martial, Jesse Lingard dan Marcus Rashford kurang matang.

Bekas kapten United itu juga berpendapat sudah tiba masa untuk Mourinho pergi dan percaya kelab itu memerlukan elemen positif tatkala mereka melalui tempoh sukar.

"Ini adalah waktu terbaik," kata Ferdinand melalui laman Instagram.

"Segalanya tidak bertambah baik dan dia telah melakukan apa yang termampu.

"Saya antara yang menyokongnya kira-kira dua tahun enam bulan yang lalu apabila dia menyertai kelab dan yakin Mourinho mampu menghadirkan kestabilan yang diperlukan United.

"Anda tidak boleh abaikan pencapaian Mourinho sebelum ini tetapi saya rasa sudah tiba masa untuk idea baru.

"Orang ramai mungkin tidak bersetuju dengan kenyataan saya di kaca televisyen tetapi sebagai peminat, saya menyatakan apa yang dilihat.

"Kelab memerlukan elemen positif dan diharapkan keputusan ini akan memberi laluan untuk ia berlaku.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya buat Mourinho di masa akan datang."