Jurgen Klopp hanya ketawa melihat Mohamed Salah kini bergelut di depan gawang tatkala aksi setempat Merseyside berdepan Everton yang berakhir seri tanpa jaringan membolehkan Manchester City kini mendahului satu mata di puncak liga.

Pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim lalu, Salah, dilihat gagal mengatasi penjaga gol England, Jordan Pickford, dalam situasi satu lawan satu ketika aksi di Goodison Park awal pagi tadi.

Penggempur prolifik itu tidak menyumbat gol sejak kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth awal bulan lalu, namun Klopp berkata ia bukan satu masalah.

Ditanya mengenai prestasi Salah, tanpa disangka Klopp ketawa sebelum menjawab: "Ia sukar. Apabila anda melihat situasi itu melalui iPad, dia melakukan segalanya dengan betul tetapi detik terakhir ketika dia membuat keputusan, dia hanya perlu lebih awal.

"Kami meraih detik kami dan terserah kepada dia untuk menggunakannya atau tidak. Anda harus berjuang berdepan lawan dan pemain saya melakukannya.

"Apabila di atas padang, kadangkala pemain sukar untuk mengawal situasi seperti itu tetapi kali ini, ia hanya beberapa inci daripada kasut. Di hari lain, dia menyumbat dua atau tiga gol, itu yang berlaku."

Ia bukan kali pertama apabila Klopp mendakwa keadaan cuaca sebagai faktor kepada persembahan longlai pasukannya tetapi sedar dia akan tampak teruk apabila menyuarakan pendapat itu.

"Ia jadi sukar atas beberapa sebab. Lawan sangat sukar ditewaskan. Saya tahu orang ramai tidak suka apabila saya katakan perkara ini tetapi arah angin berlawanan dengan kami," tambahnya.

"Ia tidak memberi sebarang bantuan, terutama ketika bola di udara. Perlawanan ini sukar dikawal kerana dua perkara yang saya katakan.

"Kami meraih beberapa peluang keemasan seperti Salah, percubaan Fabinho serta tandukan Virgil Van Dijk. Dalam situasi itu, saya tidak pasti jumlah peluang yang diraih tuan rumah."