Pemain United perlu adakan sidang media

Oleh Staff Writer 22 Oktober 2017
Pemain United perlu adakan sidang media
Jose Mourinho mengkritik sikap pemainnya selepas Manchester United tewas 1-2 di tangan Huddersfield Town sambil mencadangkan agar mereka mengadakan sidang media untuk memberikan penjelasan.

Aksi buruk United di Stadium John Smith semalam menyaksikan United tersungkur buat kali pertama pada musim ini hasil jaringan Aaron Mooy dan Laurent Depoitre.

Kesilapan individu daripada Juan Mata dan Victor Lindelof membuka ruang buat tuan rumah untuk meraih jaringan sehingga rakan sepasukan, Ander Herrera, mempersoalkan kesungguhan seluruh pasukannya dan situasi itu memeranjatkan Mourinho.

"Dalam babak pertama, saya hanya menunggu pemain-pemain melakukan kesilapan, ia terjadi daripada Mata dan Lindelof dan aksi yang buruk mungkin membuatkan mereka terpaksa menanggung lebih banyak gol.

"Huddersfield menewaskan kami hasil daripada kesungguhan yang tinggi dan saya suka apabila tewas di tangan pasukan yang lebih baik. Apabila anda tewas disebabkan sikap sambil lewa pemain, ia bukan sesuatu yang bagus," ujar Mourinho.

"Saya terdengar ulasan Ander Herrera yang menjelaskan kesungguhan dan kemahuan sangat teruk, ia membuatkan saya terfikir sesuatu.

"Apabila seorang pemain menyatakan perkara sebegitu, mereka perlu hadir ke sidang media dan menjelaskannya kerana saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya.

"Ia juga membuatkan saya terdetik, seandainya ia boleh berlaku hari ini, mungkin ia boleh berlaku lagi di masa akan datang.

"Saya tidak dapat mengingati aksi persahabatan sebelum ini ketika kami mempamerkan prestasi yang jauh daripada kemampuan sebenar kami. Sebenarnya, saya tidak suka untuk memberikan sebarang kenyataan kerana tidak tahu apa yang perlu diperkatakan.

"Kami datang ke sini untuk bermain aksi Liga Inggeris dan mendapatkan tiga mata. Saya kecewa dan jika saya seorang penyokong Manchester United, tentunya saya amat kecewa," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen