Maurizio Sarri mahu Chelsea menandatangani pemain sokongan buat Jorginho selepas Cesc Fabregas mengambil keputusan untuk menyertai Monaco kelmarin.

Chelsea meraih kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United di Stamford Bridge awal pagi tadi, dengan Jorginho kelihatan bergelut mencari rentak permainan terbaiknya.

Pemain kebangsaan Itali itu terkenal dengan kawalan bola serta hantaran tepat, gagal menampilkan persembahan terbaiknya.

Sarri mengakui bekas pemain Napoli itu mengalami masalah dalam perlawanan itu tetapi mengambil keputusan untuk mengekalkannya dalam perlawanan kerana tiada pengganti yang sesuai di bangku simpanan.

Fabregas merupakan pilihan yang tepat tetapi pemain kebangsaan Sepanyol itu berkelana ke Perancis bersama Monaco, dan Sarri berharap pemain tengah baru dapat dibawa masuk dalam kadar segera.

"Jorginho menghadapi masalah tetapi bangku simpanan tidak memiliki pemain yang sesuai," kata Sarri.

"Saya tidak tahu adakah kelab akan mencari pengganti Fabregas. Mereka telah diberitahui bahawa kepentingan mencari pemain sokongan kepada Jorginho.

"Tetapi segalanya bergantung kepada kelab, saya tidak boleh melakukan lebih lagi."

Kemenangan Chelsea terhasil menerusi jaringan Pedro dan Willian.

Ia bukan persembahan terbaik Chelsea tetapi Sarri percaya tahap keyakinan pemain-pemain tidak berada di tahap yang diinginkan.

"Kami menghadapi kesukaran dalam lima aksi terdahulu.

"Chelsea menjaringkan gol seawal minit kesembilan tetapi ia menjadi sukar apabila kami berhenti bermain.

"Ciaran Clark menyamakan kedudukan dan ia telah menggugat semangat pemain.

"Willian hadir tepat pada masa, menjaringkan gol kemenangan dan ia telah melonjakkan semangat pasukan dan saya berasakan kami perlu meningkatkan lagi tahap mentaliti bagi menghadapi perlawanan akan datang."