Pemain legenda Everton, Kevin Ratcliffe, mempersoalkan mengapa kelab itu tidak menyusuli tindakan memecat pengurus, Marco Silva, dengan melantik penggantinya dengan kadar segera.

Tempoh kendalian Silva selama 18 bulan di Goodison Park berakhir awal pagi tadi apabila bekas pengendali Watford itu dipecat berikutan permulaan buruk musim ini.

Kelab itu kini menduduki tempat ke-18 selepas 15 perlawanan apabila dibelasah 2-5 oleh pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dalam pertemuan 'derby' Merseyside, awal pagi semalam yang mendorong Everton bertindak untuk melepaskan Silva.

Everton berkata pilihan peminat, Duncan Ferguson -- yang merupakan jurulatih pasukan utama di kelab itu sejak 2014 -- akan menggalas tanggungjawab berkenaan sempena perlawanan menentang Chelsea esok.

Bagaimanapun, Ratcliffe terkejut kerana bekas kelabnya itu tidak mempunyai calon pengurus sepenuh masa yang baru untuk terus memulakan tugas berkenaan.

"Saya agak terkejut bahawa mereka tidak mempunyai seseorang untuk terus menggalas peranan itu," kata ketua pasukan yang memenangi liga yang terakhir buat Everton pada 1986-87 itu kepada Sky Sports News.

"Tidak seperti Tottenham ketika (Mauricio) Pochettino dipecat lalu (Jose) Mourinho masuk untuk menggantikannya.

"Mereka mempunyai masa untuk menilai dan mungkin mendekati seseorang tetapi jelas itu tidak dilakukan kerana mereka tidak membuat keputusan berkenaan ataupun mereka sudah mempunyai calonnya tetapi ia terhalang."

David Moyes, yang menguruskan Everton di antara musim 2002 dan 2013 sebelum ini tetapi meninggalkan kelab itu bagi menggantikan Alex Ferguson di Manchester United, merupakan pilihan utama untuk menggantikan Silva.

Walaupun Ratcliffe mengakui bekas kelabnya itu harus menghadapi realiti berdepan penyingkiran, beliau mahu melihat mereka di kedudukan yang mampu menarik perhatian pengurus tersohor dunia.

"Saya fikir begitulah keadaannya ketika ini. Saya fikir kami memerlukan seseorang untuk masuk, individu yang tahu sesuatu tentang kelab dan membawa mereka keluar daripada jurang berkenaan memandangkan mereka bergelut di zon penyingkiran," katanya.

"Jika mereka mempunyai aspirasi untuk berada di kedudukan enam teratas, mereka perlu mencuba dan mendapatkan yang terbaik di luar sana, seorang pengurus yang tidak pernah dikaitkan dengan mereka.

"Saya tahu di kedudukan itu, adalah sukar untuk menarik perhatian seseorang yang berwibawa -- mereka tidak beraksi di peringkat Eropah -- tetapi sekurang-kurangnya mereka harus berusaha untuk mendapatkan pengurus terbaik.

"Saya selalu menyebut tentang Pochettino dan (pengurus Atletico Madrid, Diego) Simeone, tetapi mereka tidak akan datang. Saya tidak fikir kedudukan kami menarik perhatian mereka.

"Tetapi saya ingin melihat nama kami dikaitkan dengan mereka atau kami sebenarnya telah berbincang dengan mereka untuk melihat apa yang diperlukan untuk mendapatkannya, tetapi perkara seperti itu tidak kelihatan."