Kejuaraan adalah apa yang David de Gea hajati apabila pemain yang menjadi sasaran Real Madrid itu bertekad memimpin Manchester United untuk kembali ke puncak bola sepak Inggeris dan Eropah.

De Gea tidak memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013 -- dengan trofi Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL) merupakan gelaran tambahan untuk mengisi kabinet penjaga gol terbilang itu.

Pemain dari Sepanyol berusia 27 tahun itu, yang terus menarik minat juara bertahan Liga Juara-Juara dua kali berturut-turut, Madrid, semakin menyerlah menerusi beberapa gelaran individu, termasuk tersenarai selama empat tahun berturut-turut dalam Kesebelasan Terbaik PFA.

Bagaimanapun, De Gea bersedia untuk menghadapi Chelsea dalam pertembungan final Piala FA bulan depan.

"Saya beraksi dengan baik, saya yakin tetapi saya perlu mengekalkannya dan memenangi trofi," De Gea memberitahu Daily Mail ketika ditanya sama ada dia adalah penjaga gol terbaik di dunia. "Itu yang dilakukan oleh pemain bertaraf dunia."

United bergelut sejak persaraan Ferguson -- tidak lebih sekadar menamatkan saingan di tempat keempat sebelum musim ini -- apabila hampir pasti mengakhiri kempen di belakang juara, Manchester City.

Bagaimanapun, sejak melantik pemenang tiga trofi EPL, Jose Mourinho, De Gea percaya The Red Devils boleh kembali ke kemuncak saingan Inggeris.

"Ia agak ganjil (di bawah van Gaal). Menamatkan kempen di tempat keempat tidak cukup bagus," kata De Gea. "Saya mahu menang. Jika anda berada di United, anda memerlukan pengurus dengan mentaliti kemenangan, kami mempunyainya dengan Ferguson, begitu juga Mourinho. Dia mahu memenangi setiap perlawanan.

"Kami bertemu semasa Kejohanan Euro (2016) dan dia mahu saya bersamanya dan mengidamkan trofi, kami melalui tempoh sukar sejak Ferguson bersara, sukar untuk didiagnosis.

"Gelaran adalah apa yang saya mahukan. Kami perlu meletakkan United kembali ke tahap terbaik, kembali ke Liga Juara-Juara, kembali sebagai juara England, kembali ke puncak."