Peminat Liverpool (LFC) di Malaysia akan dapat mengalami dan mengikuti pelbagai aktiviti untuk bertemu wira mereka seperti Jason McAteer, Sami Hyypia dan Steve McManaman, hujung minggu ini.

Mereka juga berpeluang memenangi tiket untuk bersemuka dengan pemain kesayangan mereka itu sewaktu sesi khas pertemuan dan ramah mesra bersama legenda Liverpool di Hab Dunia LFC, One Utama.

"Untuk peminat The Reds di Malaysia, mereka perlu berada di Dunia LFC Kuala Lumpur.

"Kami tahu tidak semua peminat boleh datang ke Anfield, jadi inilah cara kami membawa Anfield dekat kepada mereka.

"Kami tidak sabar untuk bertemu peminat, ia akan menjadi hujung minggu yang hebat," kata Hyypia.

Peminat Liverpool akan merasai pengalaman berada di Anfield dengan penjelmaan semula lokasi ikonik seperti Shankly Gates, papan tanda ‘This is Anfield’ dan bilik persalinan khas Anfield di Dunia LFC di mana peminat berpeluang untuk duduk di depan baju pemain kegemaran mereka -- Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil Van Dijik dan Roberto Firmino.

Terdapat pelbagai aktiviti untuk disertai peminat selain hadiah istimewa dan cenderahati turut disediakan.

Peminat juga berpeluang mengalami suasana Anfield dalam pesta pengenalan khas di Hab Dunia LFC, Ahad ini.

Ia merupakan aktiviti pentas secara langsung bersama legenda LFC sebelum bermulanya perlawanan menentang Cardiff City pada jam 11 malam.

Dunia LFC, yang dibawakan khas oleh Standard Chartered buat musim ketiga, telah berada di sembilan lokasi di seluruh dunia dengan membawakan pengalaman sebenar kepada ribuan peminat The Reds.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian Liverpool untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, McAteer berkata beliau berharap Liverpool akan mengumpulkan 97 mata untuk kekal di takhta liga selepas menghabiskan kesemua 38 perlawanan musim ini.

Selepas 34 perlawanan, Liverpool mendahului liga dengan dengan 85 mata.

Manchester City merupakan pencabar terdekat dengan 83 mata -- berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- bagi perebutan kejuaraan EPL.

-- BERNAMA