Mauricio Pellegrino berharap isu perpindahan Virgil van Dijk akan berakhir dengan baik bagi Southampton meskipun pertahanan Belanda itu membuat permintaan untuk berhijrah.

Van Dijk telah dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool sebelum kelab itu menarik balik niat mereka dan memohon maaf ekoran menghubungi pemain tersebut secara terus.

Bagaimanapun, khabar angin mengenai perpindahan tersebut terus berlanjutan dan Van Dijk mahu cuba memaksa dirinya keluar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum aksi pertama The Saints, malam tadi.

Pemain pertahanan itu berkata dia tiada pilihan lain selepas dikenakan pemotongan gaji dua minggu dan beberapa pertanyaan daripada kelab lain ditolak.

Van Dijk tidak beraksi dalam kesemua perlawanan pra-musim di bawah kendalian pengurus baru, Pellegrino, dan turut tidak kelihatan dalam aksi pembukaan berdepan Swansea City yang berkesudahan seri tanpa jaringan malam tadi.

Bercakap selepas pertembungan tanpa penyudah di St. Mary, Pellegrino mengharapkan ada penyelesaian yang lebih baik agar dia dapat menyenaraikan kembali Van Dijk dalam skuad utama.

"Saya berharap dia dapat mengubah pandangannya dan kembali menyertai kami dalam minggu akan datang," kata Pellegrino.

"Kami semua di kelab ini, termasuk pengarah teknikal, sedar bahawa dia pemain yang penting untuk pasukan ini."