WEST HAM 2 LEICESTER 2

Manuel Pellegrini berasakan keputusan pengadil menjejaskan pungutan mata West Ham dalam usaha merebut tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).


The Hammers seri 2-2 dengan Leicester City, awal pagi tadi -- keputusan yang mungkin memusnahkan harapan mereka untuk kelayakan Liga Europa.

Tempat ketujuh boleh menawarkan tempat di Eropah sekiranya Manchester City menewaskan Watford dalam final Piala FA tetapi West Ham kini di tangga ke-11 dan enam di belakang The Hornets dengan baki hanya tiga perlawanan.

Pellegrini berasakan pasukannya sepatutnya menundukkan Leicester, namun dikecewakan apabila gol Lucas Perez ketika meletakkan pasukannya 2-1 pada minit ke-82 dipadamkan melalui keputusan ofsaid.

Harvey Barnes menghadiahkan The Foxes satu mata pada masa pemberhentian yang mencetuskan kekecewaan Pellegrini untuk menyaksikan West Ham terus keciciran mata selepas kali terakhir kalah kepada Manchester United 1-2.

"Malangnya kami kehilangan lima mata," kata Pellegrini dalam sidang akhbar.

"Jika kami dapat memungutnya, mungkin kami sedang berusaha merebut tempat ketujuh. Kami mengharungi dua perlawanan berturut-turut dengan melakukan kesilapan besar.

"Pertahanan kami tidak beraksi baik untuk gol kedua lawan tetapi dalam sebahagian besar permainan, kami bermain dengan baik.

"Mungkin ketika ini kami sepatutnya berjuang untuk tenopat ketujuh. Ia adalah sebahagian daripada perlawanan tetapi apabila anda mengalami dua kekalahan berturut-turut, sukar untuk menelannya tetapi itulah yang perlu anda hadapi.

"Kami melakukan beberapa kesilapan, terutama gol kedua. Terlalu banyak ruang diberikan pertahanan kami sepanjang minit ke-93 permainan sehingga membolehkan mereka mengatur serangan tetapi saya tetap berasakan anak buah saya masih bermain baik."

Gol sulung Barnes dalam EPL membantu Leicester untuk merebut tempat ketujuh yang menyaksikan The Foxes kini satu mata di belakang Watford yang telah mengharungi lebih satu perlawanan.

"Saya merehatkannya kerana dia telah beraksi kerap akhir-akhir ini," kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers, yang akan menghadapi Arsenal, Manchester City dan Chelsea dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

"Dia seorang berbakat besar dan permainannya bertambah baik. Dia membuat larian yang hebat untuk berada di belakang pertahanan dan menjaringkan gol. Ia sesuatu yang bagus untuknya meraikan jaringan tersebut di depan penyokong."

Ditanya adakah gol kemenangan itu sepatutnya ofsaid biarpun Pedro Obiang gagal mengaktifkan gerakan tersebut, Rodgers menambah: "Nampaknya kami terlepas daripada dihukum."