Pengendali West Ham United, Manuel Pellegrini, jelas kecewa selepas ketumpulan penyudah di depan gol menyaksikan pasukannya terlepas peluang untuk menewaskan Chelsea, semalam.

Turun tanpa khidmat Marko Arnautovic, West Ham menyaksikan Michail Antonio dan Andriy Yarmolenko melepaskan peluang keemasan untuk meraih tiga mata apabila sekadar seri 0-0 di Stadium London.

Chelsea jelas mendominasi sebahagian besar perlawanan apabila mencatat 70 peratus penguasaan bola.

Pellegrini gembira dengan prestasi yang dipamerkan barisan pertahanan tetapi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila jentera serangan gagal menghadirkan kemenangan.

"Apabila anda memiliki peluang terbuka ketika berdepan kelab besar, anda harus menyumbat sekurang-kurangnya satu gol," kata Pellegrini.

"Chelsea banyak mengawal bola kerana kami membiarkan mereka.

"Kami memaksa mereka beraksi hampir sebahagian besar perlawanan di bahagian kanan tatkala Marcos Alonso dan Eden Hazard jelas menjadi ancaman utama.

"Babak pertama adalah corak permainan yang saya mahukan tetapi separuh masa kedua, kami banyak kehilangan bola. Namun, bertemu pasukan seperti Chelsea, satu mata bukan sesuatu yang buruk."

Yarmolenko, yang menjaringkan gol ketika menewaskan Everton 3-1 minggu lalu, gagal menembusi gawang Chelsea, terutama menerusi tandukan bebas tatkala permainan berbaki 15 minit.

"Mungkin menjaringkan gol tampak lebih mudah berbanding melepaskan peluang. Dia mungkin terlalu selesa," tambah Pellegrini.

"Namun, terdapat dua peluang keemasan dalam babak pertama. Chelsea hanya mendapat satu peluang apabila Lukasz Fabianski menyelamatkan usaha Alvaro Morata.

"Sentiasa sukar untuk menjaringkan gol," katanya.