Pellegrini jangka terpaksa ketepikan Arnautovic sebulan

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 234
Pellegrini jangka terpaksa ketepikan Arnautovic sebulan
Marko Arnautovic dijangka terlepas aksi selama sebulan selepas mengalami kecederaan otot, kata pengurus West Ham United, Mauricio Pellegrini.

Penyerang Austria itu terpaksa diusung keluar di penghujung babak pertama sewaktu The Hammers mencatat kemenangan 3-1 ke atas Cardiff City, Selasa lalu, di mana penggantinya, Lucas Perez menjaringkan dua gol.

Arnautovic dilihat memegang bahagian paha dan kelmarin meletakkan gambar di laman Instagram peribadi sambil berkata bakal berehat buat seketika.

Pellegrini tidak dapat mengesahkan tempoh sebenar untuk Arnautovic kembali tetapi ketika sidang medianya semalam menjelang aksi di laman sendiri menentang Crystal Palace esok, dia mengumumkan tempoh penggempur itu bakal direhatkan.

"Arnautovic berdepan masalah kecederaan otot dan kemungkinan besar akan terlepas aksi selama sebulan," ujar Pellegrini.

The Hammers kini mempersiapkan diri untuk mengharungi jadual padat sebelum Krismas apabila bakal bertemu Fulham, Watford, Southampton, Burnley dan Brighton and Hove Albion selepas melayan kunjungan The Eagles.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen