Pelaburan tidak diperlukan untuk United cabar City -- Lukaku

Oleh Staff Writer 23 April 2018 3163
Pelaburan tidak diperlukan untuk United cabar City -- Lukaku
Romelu Lukaku yakin skuad Manchester United sudah cukup untuk memberikan saingan kepada Manchester City musim depan bagi merebut takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menyifatkan pelaburan tidak perlu dilakukan.

Walaupun United telah mempamerkan peningkatkan sejak menamatkan saingan di tempat keenam musim lalu kepada tempat kedua musim ini, mereka masih lagi jauh ketinggalan kepada City.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu dijulang sebagai juara EPL minggu lalu selepas United tewas mengejut kepada West Brom di Old Trafford.

Kemenangan City ke atas Swansea City malam tadi menyaksikan mereka memiliki kelebihan 16 mata di persada liga tetapi Lukaku menegaskan mereka tidak jauh lebih baik berbanding United.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu menewaskan Tottenham 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala FA dan Lukaku berasakan perkara yang membezakan United dan City adalah aksi konsisten.

Apabila ditanya berapa banyak pelaburan yang perlu dilakukan United untuk mencabar City, Lukaku menjawab, "Saya tidak tahu, tanyalah kepada pengurus pasukan.

"Saya yakin dengan rakan sepasukan. Saya berasakan kami mampu melakukan yang terbaik tetapi United perlu mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang musim.

"Kami perlu bermain dengan konsisten dan pengurus perlu melihat jika terdapat ruang untuk penambahbaikan tetapi skuad ini sudah mencukupi.

"Ia merupakan musim yang pelik buat United. Kami sebenarnya mampu bersaing dengan City.

"Kami perlu mempamerkan peningkatan musim depan dan cuba menampilkan aksi yang lebih cemerlang.

"Jika anda melihat kepada perlawanan kami berdepan enam pasukan teratas liga, kami banyak meraih kemenangan, kami perlu melakukan perkara yang sama musim depan.

"Tetapi, kami masih berpeluang menamatkan saingan dengan trofi musim ini dan saya akan cuba membantu pasukan mencipta kejayaan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen