Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Peter Crouch, terkejut dengan tindakan kelab itu memecat Mauricio Pochettino dengan mendakwa pasukan lain mungkin akan menghadiahkan tugu buat pengurus itu.

Pochettino dan staf kejurulatihannya disingkirkan awal pagi tadi selepas Spurs gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dan terperosok di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.

Namun, bekas pengurus Southampton itu membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dengan menewaskan Manchester City dan Ajax, masing-masing dalam suku akhir dan separuh akhir, sebelum hasrat menjulang trofi itu dinafikan Liverpool.

Crouch, yang merupakan produk akademi Tottenham dan pernah menyarung jersi kelab itu dari 2009-2011, tidak percaya sebegitu cepat pencapaian hebat Pochettino dilupakan.

"Saya terkejut dengan keputusan Tottenhham," katanya dalam Daily Mail.

"Saya sedar keputusannya tidak begitu baik dan saya sedar apa yang pasukan besar akan lakukan sekiranya slot mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah terancam tetapi amat mengarut apabila Pochettino secara tiba-tiba hilang nilainya.

"Dia membawa Tottenham ke final Liga Juara-Juara pada 1 Jun.

"Kelab lain, yang tidak pernah menjejaki peringkat itu, mungkin akan membina tugu buat pengurus yang membawa mereka ke perlawanan terbesar itu.

"Tetapi apa yang Pochettino dapat adalah surat pemecatan.

"Saya risau ia akan menjadi keputusan yang akan disesali Tottenham," katanya.

Dia menambah: "Pochettino merupakan perkara terbaik yang mereka ada sepanjang 20 tahun ini.

"Jika mereka fikir boleh mencari pengganti yang lebih baik, selamat berjaya buat mereka."

Jose Mourinho dilaporkan akan menggantikan Pochettino di Stadium Tottenham Hotspur.