Mesut Ozil menolak 'tawaran tidak masuk akal' bernilai £1 juta (RM5.4j) seminggu daripada kelab Asia demi kekal di Arsenal, kata ejennya.

Pemain berusia 30 tahun itu bersetuju dengan perjanjian baru dengan The Gunners, Februari lalu, yang dikatakan bernilai sekitar £300,000 (RM1.6j) seminggu selepas beberapa bulan spekulasi mengenai masa depannya berlanjutan.

Wakilnya, Dr Erkut Sogut, menafikan wang adalah masalah utama semasa rundingan itu yang berlarutan beberapa lama dan mendedahkan Ozil mampu menikmati nilai gaji tertinggi dunia sekiranya dia bersetuju untuk berpindah dari utara London.

"Kami mempunyai beberapa tawaran hebat dari Asia, ada beberapa tawaran yang gila," katanya kepada Standard Sport. "Tetapi, bagi Mesut, wang bukanlah faktor terbesar.

"Wang pasti menjadi salah satu aspek penting untuk dipertimbangkan, namun orang harus ingat bahawa kemampuan bola sepak hanyalah salah satu elemen penting dalam rundingan kontrak. Impak komersial pemain bola sepak pada masa kini penting.

"Mesut mempunyai pengikut yang terbesar di media sosial berbanding mana-mana pemain Liga Perdana yang lain manakala saya baru terbaca bahawa (jualan ) jersi dengan namanya adalah yang tertinggi di kelab ini. Pada penghujung hari, semua maklumat ini perlu dipertimbangkan.

"Jadi, impak yang dicetuskan pemain seperti Mesut mempunyai impak komersial yang sangat besar bagi seorang pemain yang bermain di negara luar dan merupakan pemain berjersi nombor 10 dari Jerman yang pernah memenangi Piala Dunia. Pasarannya ada di seluruh dunia. Kelab juga menjana keuntungan dengan pemain seperti ini."

Ozil, yang menyertai Real Madrid pada 2013, kini komited bersama Arsenal sehingga 2021 dan terdapat cadangan yang dia mungkin kekal di Stadium Emirates sepanjang kariernya.

Sogut berkata rasa cinta pemain itu terhadap kelabnya merupakan faktor penting di sebalik keputusannya untuk kekal.

"Ia lahir daripada hatinya," katanya. "Kami bebas untuk mengikat kontrak dengan kelab lain dan pada akhirnya, Mesut mencintai kelab ini. Saya menyerahkan segala keputusan kepadanya dan dia hanya berkata, 'Ini rumah saya, saya mahu berada di sini'."