Mesut Ozil kekal tenang walaupun berdepan kemungkinan terlepas aksi Piala Dunia 2018 akibat kecederaan belakang.

Pemain berusia 29 thaun itu tidak beraksi ketika Arsenal menundukkan Burnley 5-0 pada Ahad lalu apabila sekadar duduk di bangku penonton sewaktu The Gunners memberikan penghormatan buat pengurus, Arsene Wenger, yang bakal meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.

Ozil menjelaskan kemungkinan besar dia akan turut terlepas baki dua perlawanan menentang Leicester City dan Huddersfield Town tetapi yakin akan cergas bagi menghadapi perlawanan pertama Jerman menentang Mexico dalam Piala Dunia pada 17 Jun.

“Agak menyedihkan saya terlepas aksi pada Ahad lalu akibat kecederaan belakang. Ia memerlukan sedikit masa tetapi saya yakin dapat pulih tepat pada waktu Piala Dunia bermula,” katanya menerusi Twitter.

Ozil menyertai Arsenal pada 2013 selepas meninggalkan Real Madrid untuk beraksi di bawah bimbingan Wenger dan dia menyifatkan peluang beraksi di bawah kendalian pengurus dari Perancis itu merupakan satu penghormatan.

“Sekali lagi, saya ingin berterima kasih kepada pengurus kami.

“Semestinya ia menjadi satu penghargaan besar apabila beraksi buatnya. Terima kasih untuk semua memori yang dikongsi sebelum ini.”