Pengendali Arsenal, Unai Emery, yakin 100 peratus Mesut Ozil dan Sead Kolosinac kini bersedia untuk kembali beraksi selepas direhatkan demi keselamatan kedua-dua pemain tersebut.

Ozil dan Kolosinac merupakan mangsa insiden cubaan merompak mereka bulan lalu dan terlepas kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United ketika perlawanan pembukaan musim ini tetapi kini telah kembali menjalani latihan.

Rakaman video memaparkan Kolosinac cuba bertarung dengan dua penyerang bertopeng yang cuba mendekati kereta yang dipandu Ozil.

Mereka tampil dalam aksi pramusim sewaktu tewas 2-1 di tangan Barcelona pada 4 Ogos lalu tetapi terpaksa diketepikan selepas itu atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu kembali memperkuatkan pasukan menjelang pertemuan dengan Burnley esok dan Emery akan membuat keputusan saat-saat akhir sama ada mahu menggunakan khidmat mereka atau tidak tatkala Ozil mungkin terlepas perlawanan itu akibat jangkitan.

"Mereka kembali berlatih bersama kami kelmarin. Ozil tidak begitu sihat, jadi dia tidak dapat berlatih semalam," kata pengendali itu.

"Setiap sesi latihan memberikan kami maklumat yang bagus serta pilihan berbeza bersama mereka. Adakah saya teruja melihat mereka kembali? Sudah tentu.

"Jika mereka berlatih secara konsisten setiap hari, saya akan buat keputusan dan mendapatkan penyelesaian terbaik. Ia sesuatu yang positif apabila mereka bersama kami ketika ini.

"Adakah mereka bersedia? Ya, 100 peratus. Mental mereka fokus buat kami, untuk latihan dan perlawanan.

"Fokus saya adalah bertindak positif dan memastikan pemain 100 peratus memikirkan tentang segalanya di sini. Saya mahu membantu mereka bertindak normal bersama kami dan berlatih serta memikirkan setiap perlawanan dengan penuh fokus."

Minggu lalu, dua lelaki didakwa atas serangan di khalayak ramai berhubung insiden di luar rumah Ozil, berasingan dengan cubaan merompak keretanya.

Dua lelaki tersebut dilaporkan terlibat dengan perbalahan bersama staf keselamatan.