Mesut Ozil menjelaskan hubungannya dengan pengurus Arsenal, Unai Emery, amat baik walaupun bergelut untuk mengekalkan prestasinya sepanjang musim lalu.

Ozil menjadi pemain kelab itu yang menerima pembayaran tertinggi pada 2018 selepas menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun, namun bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak konsisten dengan hanya tersenarai sebanyak 20 kali dalam kesebelasan utama The Gunners daripada 38 aksi liga.

Walaupun dibelenggu spekulasi mengenai masa depannya di Stadium Emirates, bekas pemain kebangsaan Jerman itu percaya dia masih mampu untuk menjadi sebahagian daripada perancangan Emery musim ini dan menegaskan dia mempunyai hubungan baik dengan pengendali berbangsa Sepanyol itu.

"Saya mempunyai ramai jurulatih sepanjang karier, jadi sudah pasti setiap jurulatih berbeza dan mahukan sesuatu yang berbeza daripada anda sebagai seorang pemain.

"Namun, saya menghadapi beberapa kecederaan sebelum memulakan musim lalu, jadi saya menghadapi waktu yang sukar.

"Pada akhirnya, terutama pada penghujung musim, saya beraksi dalam banyak perlawanan.

"Saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan jurulatih, jadi kami sudah banyak kali berbincang dan dia mahu membantu saya dan saya mahu membantunya," katanya.

Ozil diturunkan dalam dua perlawanan pra-musim jelajah Amerika Syarikat di mana The Gunners memenangi perlawanan terakhir dengan menewaskan juara Jerman, Bayern Munich.

Pemain berusia 30 tahun itu beraksi baik dengan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang dalam perlawanan itu dan dia berasakan tahap kecergasannya amat baik menjelang musim 2019-20.

"Saya amat gembira. Saya cergas.

"Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk cergas sepanjang musim dan telah melakukannya dengan amat baik.

"Kami bekerja keras bersama-sama dan telah membuktikan, terutama ketika menentang Bayern Munich, bahawa kami kelihatan amat segar.

"Kami menunjukkan permainan kami dan layak menang.

"Kami bekerja keras dan sebagai pemain Arsenal dan pasukan Arsenal, kami sentiasa meletakkan kejuaraan sebagai sasaran.

"Jadi, harap-harap kami dapat memenanginya musim ini dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada penghujung musim," tambahnya.