Mesut Ozil mengesahkan dia sedang "bekerja keras" untuk kembali daripada kecederaan belakang dengan memuat naik gambarnya semasa berlatih di media sosialnya.

Bekas pemain antarabangsa Jerman itu terlepas dua perlawanan terakhir Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kemenangan 4-2 yang mendebarkan ke atas seteru setempat, Tottenham, dan ketika seri 2-2 di Manchester United -- akibat kecederaan berkenaan sambil beberapa laporan mendedahkan kecederaannya diburukkan lagi dengan tabiatnya gemar menghabiskan masa dengan permainan video, Fortnite.

Pengurus Arsenal, Unai Emery, yang pada Khamis lalu mendedahkan bahawa Ozil telah meningkatkan usahanya untuk kembali beraksi, enggan mengetepikan peluang pemain berusia 30 tahun itu untuk diturunkan bertemu Huddersfield Town, malam ini.

"Pagi ini, dia bekerjasama dengan ahli fisioterapi di atas padang, berlari dan menyentuh bola. Kami akan membuat keputusan esok (hari ini)," kata Emery dalam sidang media sebelum perlawanan.

Sementara itu, Ozil memberi penjelasan bahawa dia telah menggandakan usahanya sambil memuat naik tiga gambar di akaun Twitternya dengan beberapa ucapan penghargaan kepada jurulatih kecergasan kelab, Shad Forsythe.

"Masih berusaha keras untuk kembali secepat mungkin susulan kecederaan belakang saya," tulisnya. "Terima kasih kepada jurulatih kecergasan kami, Shad Forsythe, atas sokongan anda setiap hari."

Bekas pemain Real Madrid itu telah membuat 10 penampilan liga bersama The Gunners musim ini -- semuanya dalam kesebelasan utama -- dengan menyumbangkan tiga gol.