Pep Guardiola mengakui Nicolas Otamendi tidak gembira di Manchester City kerana sering dipinggirkan.

Otamendi bersaing untuk merebut tempat dengan ketua pasukan City, Vincent Kompany, serta pertahanan England, John Stones, dan bekas pemain termahal kelab itu, Aymeric Laporte, untuk mengisi slot pertahanan tengah.

Pemain antarabangsa Argentina itu hanya memulakan lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di samping membuat penampilan dari bangku simpanan dalam 13 perlawanan lagi.

Otamendi bakal diturunkan dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Burton Albion, awal pagi esok, dengan juara EPL itu mempunyai bekalan kemenangan 9-0 hasil daripada pertemuan pertama.

Guardiola mengakui ia satu cabaran untuknya dalam memastikan pemain seperti Otamendi bersikap positif memandangkan City masih dalam pemburuan empat gelaran musim ini.

"Dia tidak gembira -- saya tidak mempunyai jawapannya," kata Guardiola kepada pemberita.

"Apabila dia diturunkan, dia gembira. Apabila tidak beraksi, maka dia tidak gembira. Saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan.

"Dia mampu beraksi setiap minggu, dia boleh bermain dan saya tahu dia sentiasa bersedia. Dia boleh membantu kami mengatur gerakan dari belakang.

"Saya memiliki tiga pilihan pertahanan tengah dan Vinny (Kompany) memberikan persembahan yang sangat baik ketika menentang Southampton, minggu lalu. Kadang-kadang saya perlu mengorbankan salah seorang daripada mereka.

"Prestasi John kembali pulih selepas Piala Dunia 2018, dia mahu terlibat dalam banyak perlawanan. Nico -- saya tahu kami boleh bergantung kepadanya -- seorang pemain profesional yang luar biasa dan sentiasa bersedia, saya boleh memahaminya."

Ditanya sama ada pemain seperti Otamendi mungkin akan meninggalkan kelab itu berhubung situasi tersebut, Guardiola berkata ia masalah yang perlu ditangani Pengarah Bola Sepak, Txiki Begiristain.

"Ia bergantung kepada pemain, saya tidak mahu pemain sedih di sini," katanya. "Jika anda tidak gembira, anda perlu mengetuk pintu Txiki.

"Pada akhir musim ini, mereka perlu membuat keputusan. Jika mereka jarang beraksi dan tidak gembira, maka mereka perlu berpindah.

"Saya tahu mereka mampu melakukannya dan saya tidak mempunyai apa-apa rungutan mengenai perkara itu."

Tambahnya: "Berdasarkan jadual perlawanan, semua pemain telah terbabit. Selain perlawanan terakhir yang menyaksikan Fabian Delph terlepas tiga perlawanan akibat penggantungan, tiada seorang pemain pun yang terlepas sehingga dua atau tiga perlawanan.

"Tiada pemain yang tidak dapat beraksi dan ia tidak berlaku. Membuat pilihan pemain adalah bahagian paling sukar. Sejujurnya dalam tugas saya ini, sesetengah pemain memerlukan perlawanan untuk membentuk keyakinan, ia melibatkan banyak sebab," katanya.