Pertahanan Manchester City, Nicolas Otamendi, kini menikmati musim yang cemerlang di bawah kendalian Pep Guardiola sambil menyifatkan pengurus itu tetap memberikan tunjuk ajar walaupun ketika di rumah.

Semalam, City mengumumkan bahawa Otamendi telah menandatangani kontrak baru yang menyaksikannya bakal berada di Etihad sehingga 2022.

Pemain yang kini merakamkan hantaran terbanyak dalam liga dengan jumlah 2,033 itu sedang melalui musim terbaiknya bersama The Citizens sejak tiba dari Valencia pada 2015 dan dia memuji kesan yang diberikan Guardiola terhadap permainannya.

"Kini saya rasa mempunyai peranan penting kerana pertahanan tengah perlu sama-sama mengatur gerakan buat pasukan dan bekerjasama sebagai satu pasukan dengan baik. Guardiola mengajar kami untuk melakukannya.

"Anda belajar banyak perkara daripadanya walaupun ketika di rumah. Setiap pergerakan, penetapan posisi serta cara untuk menerima bola. Semua informasi ini berada dalam diri anda dan ia sangat penting. Saya sangat gembira dapat bermain bola sepak dengan cara sebegini.

"Saya rasa telah meningkat dengan ketara sejak musim lalu daripada segi pergerakan dalam permainan, mencari ruang yang tepat serta melakukan hantaran yang betul," kata Otamendi.

Bulan lalu, Guardiola telah menggelar pemain Argentina itu sebagai "Superman", namun Otamendi tidak berasakan dia mampu menterjemahkan aksi terbaik tanpa kehadiran pengendali dari Sepanyol itu.

"Apabila seorang pengurus seperti Guardiola memuji anda, ia memberi makna yang besar. Seperti yang saya katakan, saya telah banyak belajar daripadanya.

"Seluruh pasukan kini sedang menikmati gaya permainan yang diterapkannya dan dia sangat taksub tentang bola sepak serta taktikal. Saya gembira dengan kehadirannya.

"Bagaimanapun, saya masih mempunyai ruang untuk terus meningkat walaupun telah membuktikannya. Dalam setiap perlawanan, saya cuba menjadi pemain yang lebih bagus," katanya lagi.