Jose Mourinho mempertahankan rekodnya di Manchester United sambil memberi bayangan mengenai masalah dalaman kelab itu dengan mengatakan "orang tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir" berhubung pergolakan di Old Trafford.

Pengurus Portugis tersebut dipecat bulan lalu selepas dibelasah Liverpool 3-1 yang menyebabkan mereka tercicir 19 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebelum pertengahan musim ini dalam kempen ketiga yang diterajui Mourinho.

Mourinho memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa pada tahun pertamanya membimbing United selain menduduki tempat kedua liga pada 2017-18.

Begitupun, keputusan buruk musim ini, ditambah pula pertelagahannya dengan beberapa pemain berprofil tinggi, mendorong kepada pemecatannya.

Bagaimanapun, Mourinho, yang telah memenangi gelaran liga di Portugal, England, Itali dan Sepanyol serta menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak dua kali, menegaskan semuanya tidak berjalan dengan baik di United.

"Saya fikir kadang-kadang kita hanya mengulas mengenai apa yang dilihat tetapi tidak tahu apa yang terjadi di belakang tabir. Ia mempengaruhi apa yang kita lihat," katanya kepada BeIN SPORTS.

"Sekiranya saya memberitahu anda, sebagai contohnya, saya menganggap salah satu tugasan terbaik dalam kerjaya saya ialah ketika Manchester United menamatkan saingan EPL di tempat kedua, anda akan berkata, 'Dia ini gila. Dengan 25 gelaran, dia mengatakan bahawa kedudukan kedua adalah salah satu pencapaian terbaiknya dalam bola sepak '.

"Saya berterusan mengatakan hal ini kerana hakikatnya orang tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir."

Mourinho akan berusia 56 tahun pada tanggal 26 Januari ini, namun menganggap tugasnya di United bukanlah yang terakhir untuknya mengemudi sebuah pasukan di peringkat tertinggi.

Dia telah dikaitkan dengan bekas kelab, Inter dan Real Madrid, dan menafikan spekulasi akan mengambil alih jawatan di Benfica sebelum Bruno Lage dilantik sebagai pengurus baru kelab Portugal itu.

"Tidak, saya mahu melatih, saya masih terlalu muda," katanya mengenai kemungkinan akan bersara.

"Saya sudah lama berada dalam kancah bola sepak tetapi saya akan berusia 56 tahun dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Masih terlalu muda (untuk saya bersara). Saya akan terus kekal di mana saya sepatutnya berada, iaitu dalam bola sepak peringkat tertinggi. Itulah tempat saya."