Pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, tidak mahu memikirkan tentang khabar angin yang mengaitkannya dengan jawatan di Manchester United.

Laporan di Jerman pada minggu lalu mengatakan bahawa pengendali berusia 44 tahun itu dikenal pasti sebagai salah seorang calon untuk menggantikan Jose Mourinho berdasarkan hierarki United.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih Porto itu tidak bercadang untuk memperbesarkan perkara itu dengan membincangkannya dalam khalayak ramai.

"Anda mengenali saya. Saya tidak bercakap tentangnya. Ia tidak masuk akal," katanya.

"Ini bukan waktu yang sesuai untuk memikirkannya. Saya tidak melayan perkara itu dan memilih untuk mengabaikannya."

Nuno juga ditanya mengenai hasratnya untuk mengendalikan pasukan seperti United, satu hari nanti, dia menjelaskan: "Saya tidak melakukan perkara seperti itu. Saya hanya mengikut rutin harian.

"Saya tahu apa yang harus dilakukan pada hari ini, iaitu mempersiapkan pemain-pemain bagi menghadapi aksi berdepan Burnley. Ini cara saya melihat masa depan, menguruskannya hari demi hari."

Wolves bakal melayan kunjungan Burnley pada esok bagi mendapatkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Mereka akan akan bertandang ke Old Trafford untuk menghadapi The Red Devils pada 22 September depan.