Nuno Espirito Santo berkata Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak boleh dibenarkan mengganggu pasukan meraikan jaringan ketika skuad bimbingannya, Wolverhampton Wanderers, mengikat Manchester United 1-1 awal pagi tadi.

Ruben Neves menjaringkan gol penyamaan sensasi di Molineux selepas Anthony Martial membuka tirai jaringan dalam babak pertama buat United bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Pemain tengah itu melencongkan bola sebelum singgah ke palang dan masuk ke dalam gawang, sekali gus mencatat jaringan ke-10 dari luar petak penalti buat Wolves.

Namun, ia tertangguh selepas VAR mengkaji sama ada wujud situasi ofsaid atau tidak sebelum gol tersebut.

"Saya tidak mahu terlepas detik tersebut," kata Nuno.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka selesaikannya, saya memberikan pendapat dan ia beremosi.

"Anda meraikan jaringan dan ia detik indah, jadi apabila semua terdiam menantikannya, usah ragut kebahagiaan itu daripada orang ramai. Ia detik terpenting dalam bola sepak.

"Saya berharap tetapi tidak menjangkakan Neves menyumbat jaringan kerana dia hebat. Dia memiliki teknik sepakan yang bagus dan telah melakukannya beberapa kali tetapi perlu mengulanginya kerana ia satu keperluan."

Selepas Rui Patricio menyelamatkan sepakan penalti Paul Pogba ketika kedudukan terikat 1-1, Wolves muncul pasukan pertama yang bangkit dan mengelak kekalahan dalam tiga pertemuan berturut-turut berdepan United.

Skuad kendalian Nuno itu menewaskan United dalam aksi liga dan Piala FA musim lalu di laman sendiri, membuatkan pengendali itu memuji persembahan hebat anak buahnya.

"Saya bangga dengan prestasi pasukan kerana ia penting pada ketika ini," tambahnya.

"Ia perlawanan penuh emosi, ini adalah apa yang diraikan di Molineux dan kami mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana sokongan yang diberikan sewaktu kami mengawal permainan dan mencipta peluang. Mereka memberi semangat buat kami, hebat.

"Ayuh lakukannya, bermain dengan tenaga sepatutnya, hadapi cabaran dan berjuang. Pemain berjuang mendapatkan bola setiap masa, ia sangat bagus dan saya bangga dengan mereka."