Norwich City tidak gentar bertandang ke Anfield untuk berdepan Liverpool dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim 2019/20, kata pengurusnya, Daniel Farke.

Farke membawa Norwich kembali ke Liga Perdana Inggeris selaku juara Liga Kejuaraan musim 2018-19 dan The Canaries akan membuka kempen dengan berdepan naib juara musim lalu, Liverpool.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu menamatkan musim di belakang Manchester City sebelum memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam final di Madrid.

Bagaimanapun, Farke, yang meninggalkan Borussia Dortmund untuk mengendalikan pasukan di England seperti Klopp -- walaupun hanya pasukan simpanan kelab Bundesliga itu -- tidak sabar untuk berdepan cabaran berkenaan sambil menegaskan pasukannya tidak akan gentar berdepan Liverpool.

"Ia perlawanan menarik buat penyokong dan keseluruhan kelab ini," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Kami bukannya naif. Kami tahu ia mungkin perlawanan paling sukar dalam aksi pertama.

"Mereka memiliki stadium hebat dengan pemain dan pengurus bertaraf dunia.

"Mereka pasti terdesak untuk memulakan pesta mereka.

"Tetapi kami tidak takut. Kami mahu berdepan pasukan terbaik.

"Kami berusaha keras untuk mendapatkan peluang seperti ini dan mahu menjadi pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan terbaik di negara ini.

"Kami tidak sabar untuk menunjukkan bola sepak kami di atas padang.

"Kami bukan sekadar mahu menikmati perlawanan dengan pasukan terbaik, kami juga mahu memberikan pulangan buat penyokong dengan memberikan persembahan dan keputusan yang baik.

"Kami sedang fokus untuk menjalankan tugas itu," katanya.

Norwich juga akan berdepan Chelsea dan City dalam lima perlawanan pertama, namun Farke amat yakin pasukannya mampu beraksi setaraf dengan gergasi Liga Perdana berkenaan.

"Saya tidak mahu terlalu mengkaji jadual perlawanan.

"Anda tidak akan tahu masa yang bersesuaian untuk menghadapi setiap pasukan.

"Kami berdepan permulaan sukar untuk menghadapi pasukan terbaik di Eropah dan ia merupakan tugas besar buat pasukan muda saya, namun kami tidak sabar untuk meraih kejayaan.

"Kami mahu meraih mata daripada pasukan terbaik dan saya rasa kami akan memperoleh banyak pengajaran daripada beberapa perlawanan pertama," tambahnya.