NORWICH CITY 3 BIRMINGHAM CITY 1

Norwich City menamatkan kemarau kemenangan untuk melonjak ke tangga kedua Liga Kejuaraan Inggeris selepas menundukkan Birmingham City 3-1 di Carrow Road, awal pagi tadi.


Sebelum ini, Norwich gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir liga yang mengakibatkan mereka terkeluar daripada kedudukan ke Liga Perdana Inggeris, namun skuad kendalian Daniel Farke itu kembali ke landasan tepat dengan bergaya menerusi amukan dalam babak pertama.

Penjaring terbanyak, Teemu Pukki, meledak golnya yang ke-16 musim ini dengan menyudahkan hantaran lintang rendah Jamal Lewis, namun Birmingham bangkit 78 saat selepas itu dengan Che Adams memanfaatkan hantaran gemilang daripada Jota.

Bagaimanapun, Mario Vrancic dan Tom Trybul menjaringkan gol pantas sebelum menuju ke bilik persalinan ekoran kelalaian pertahanan lawan yang gagal membantu penjaga gawang Birmingham, Lee Camp.

Vrancic dibenarkan bergerak terlalu bebas untuk meledak dari jarak 25 ela dan Trybull pula tidak dijaga rapi tiga minit selepas itu, untuk menanduk masuk bola sepakan penjuru Emiliano Buendia.

Peluang lebih terhad dalam babak kedua dengan Camp melakukan aksi penyelamatan menarik bagi menggagalkan percubaan Todd Cantwell sebelum terjahan saat-saat akhir daripada Gary Gardner menghalang Pukki daripada meraih jaringan peribadi kedua.

Sepakan jarak jauh lemah daripada Adams merupakan percubaan terbaik pelawat dalam babak itu, namun ia mudah ditangkap kemas Tim Krul.

Dengan keputusan itu, Birmingham kini melewati empat perlawanan tanpa kemenangan dan berdepan risiko terjerumus ke kelompok bawahan liga jika gagal meraih kemenangan dalam perlawanan seterusnya.