Kapten West Ham, Mark Noble menyifatkan bintang Tottenham, Harry Kane, sekurang-kurangnya bernilai GBP100 juta (RM566 juta).

Kane telah meledak enam gol dalam tujuh perlawanan musim ini selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Spurs menewaskan West Ham 3-2 kelmarin.

Noble percaya pemain kebangsaan England itu yang memiliki kontrak sehingga pertengahan 2022 bernilai lebih daripada GBP100 juta.

"Itu adalah nilainya kerana dia mampu menjaringkan gol dalam mana-mana perlawanan. Kane adalah seorang penyerang yang berkualiti," katanya.

"Selepas Spurs menjual Gareth Bale kepada Real Madrid, mereka telah menggunakan duit itu untuk membentuk semula pasukan ini.

"Hasilnya adalah mereka berjaya membentuk Kane untuk menjadi saah seorang penyerang yang berbisa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)

"Bagaimanapun, Spurs perlu mengekalkan khidmat pemain itu untuk mengekalkan persembahan cemerlang mereka," katanya lagi.

Spurs kini menduduki tangga keempat EPL selepas tewas dalam satu perlawanan musim ini.