Gary Neville dan Roy Keane menggesa Manchester United untuk berhenti berurusan dengan Mino Raiola dan membiarkan Paul Pogba meninggalkan kelab itu susulan kenyataan terbaru ejen itu.

Sebelum aksi menentang Chelsea di tempat lawan yang berakhir dengan kemenangan 2-0 buat pelawat, awal pagi tadi, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata Pogba merupakan pemain United dan bukan hak Raiola.

Tatkala United bergelut untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, ejen Pogba, Raiola, berkata ada perkara lain yang patut dirisaukan oleh Solskjaer.

Sewaktu muncul selaku pakar bola sepak buat Sky Sports, bekas tonggak United, Neville dan Keane, ditanya mengenai Raiola dan situasi yang dihadapi oleh Pogba, yang diketepikan sejak Disember lalu akibat kecederaan buku lali sambil dia sering dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford.

Kedua-dua bekas pemain itu menjangkakan Pogba akan berhijrah sambil Neville berkata: "Ia akan berakhir dengan Pogba meninggalkan United.

"Apa yang patut berlaku adalah kelab harus menghindari ejen itu. Dia telah memberikan masalah buat United selama bertahun-tahun menerusi Pogba serta pemain-pemain lain.

"Mengapa mereka membiarkan dipermainkan olehnya, saya tidak tahu. Dia benar-benar duri dalam daging buat pasukan. United patut tegas dengan pendirian, 'Jika anda diwakili oleh dia, kami tidak akan berurusan dengan anda'."

Keane menambah: "Jika ia tidak betul untuk kelab dan ejen mentertawakan anda, biarkan pemain itu pergi.

"Lihat kepada gambaran yang lebih besar. Kami bercakap tentang kelab hebat seperti United. Usah dapatkan ejen sebegini serta pemain-pemain yang saya fikir tidak mahu berada bersama United.

"Ejen-ejen ini juga tidak mahu mereka di sana, saya tidak fikir Raiola mahu Pogba di Old Trafford. Terus bersalam dan lepaskannya.

"Pogba akan pergi musim panas nanti, 100 peratus."


Editor: Nafis Abdullah