Gary Neville berkata keadaan Manchester United ketika ini "tidak boleh dimaafkan" berdasarkan apa yang telah dibelanjakan di Old Trafford dan menggesa naib presiden eksekutif, Ed Woodward, untuk meninggalkan pasukan itu.

United tewas kepada seteru tradisi, Liverpool, dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam dan kekalahan 2-0 itu mengakibatkan mereka ketinggalan 30 mata di belakang pendahulu liga berkenaan, yang semakin hampir untuk meraih kejuaraan liga pertama sejak 30 tahun lalu.

Neville, yang memenangi lapan gelaran EPL sewaktu mewakili United di bawah kendalian Alex Ferguson, berasa amat kecewa dan berang dengan kemerosotan kelab itu dan percaya sudah sampai masanya untuk pemilik kelab itu, keluarga Glazer, bertindak.

Dalam satu siaran audio, Neville berkata: "Saya tidak percaya dengan pelaburan yang dilakukan ke dalam skuad ini sepanjang lima, enam, tujuh tahun lalu berakhir dengan apa yang disaksikan di atas padang.

"Saya melihat statistik yang dikeluarkan dua minggu lalu bahawa United memgang rekod kedua tertinggi di dunia dalam pembayaran gaji.

"Dan dengan skuad yang mereka ada, ia tidak dapat dimaafkan.

"Saya tidak dapat mengubah pemilik United, tiada siapa dapat melakukannya.

"Saya sukar untuk faham mengapa pemilik masih terus mempercayai pasukan pengurusan untuk meneruskan pencarian gelaran Liga Perdana Inggeris sejak Sir Alex meninggalkan pasukan.

"Jika anda tidak dipecat kerana tidak perasan mengenai pelaburan, pembayaran gaji dan meletakkan pasukan seperti itu di luar padang, saya perlu katakan sesuatu yang tidak betul sedang berlaku.

"Terdapat bakat yang nyata dalam pasukan eksekutif itu tetapi daripada segi apa yang diperlukan oleh kelab itu untuk beberapa tahun ini. Ia perlu meletakkan pegawai bola sepak kelas terbaik di dalam kelab itu dan mereka tidak melakukannya. Mereka tidak melakukannya dan ia kacau-bilau," katanya.

United masih beroperasi tanpa pengarah bola sepak ketika masa depan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus masih tidak terjamin.

Pelan jangka masa panjang diperlukan tetapi Neville tidak yakin kelab itu memiliki tenaga kerja untuk melakukannya.

Dia menambah:"Di belakang tabir United, perlu ada seseorang yang merancang kejatuhan Liverpool dan memastikan United kembali di atas mereka.

"Ia memerlukan seseorang yang bijak, cerdik dan baik, dan saya tidak pasti mereka memilikinya di sana," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa