Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat yang ditemui dalam bangkai pesawat ringan yang membawa penyerang Cardiff City, Emiliano Sala, dan juruterbang, David Ibbotson.

Gerakan mencari menggunakan satu kenderaan bawah laut dengan kawalan jauh (ROV) telah menemui bangkai pesawat itu di dasar laut Selat Inggeris berdekatan Guernsey semalam.

“Secara tragisnya, daripada rakaman video ROV itu, satu mayat mangsa jelas dapat dilihat di dalam bangkai pesawat," kata satu kenyataan AAIB.

Selepas perbincangan dengan keluarga Sala dan Ibbotson serta pihak polis, keputusan telah dibuat dan proses mengeluarkan mayat itu akan dilakukan.

Seorang jurucakap AAIB berkata: “Kami akan cuba mengeluarkan mayat itu. Jika berjaya, kami akan mempertimbangkan untuk menaikkan bangkai pesawat itu.

"Keadaan ombak besar bermakna kami hanya boleh menggunakan ROV dalam tempoh yang terhad setiap hari dan ia akan menyebabkan perkembangannya menjadi perlahan.

"Tanpa mengira apapun hasilnya, kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga waris-waris mereka dimaklumkan."

Pesawat ringan Piper Malibu itu dilaporkan hilang dari radar di Selat Inggeris pada 21 Januari lalu tatkala Sala dalam penerbangan ke Cardiff selepas melengkapkan perpindahan yang menjadi rekod kelab daripada pasukan Ligue 1, Nantes.

Pencarian awal dan usaha menyelamat ditamatkan oleh pihak Polis Guernsey selepas tiga hari pada 24 Januari lalu.

Syahbandar Guernsey, Kapten David Barker, menyifatkan kebarangkalian untuk mereka ditemui masih hidup adalah teramat tipis tetapi beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi serta orang ramai menyahut rayuan keluarga Sala dengan membiayai satu operasi mencari secara persendirian.