Polis Dorset mengesahkan mayat yang ditemui dalam bangkai pesawat di dasar Selat Inggeris semalam adalah milik penyerang Cardiff City, Emiliano Sala.

Cawangan Penyiasatan Nahas Udara (AAIB) United Kingdom mengesahkan mayat berkenaan diserahkan kepada Koroner Dorset semalam untuk dikenal pasti dengan bantuan pakar.

Pesawat ringan Piper Malibu dengan turbin tunggal itu hilang bersama Sala dan juruterbang, David Ibbotson, dalam penerbangan mereka ke Cardiff pada 21 Januari lalu selepas pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan perpindahannya daripada kelab Ligue 1, Nantes.

Kenyataan polis yang dikeluarkan malam tadi menyatakan: "Mayat berkenaan telah dibawa ke Pelabuhan Portland pada 7 Februari (semalam) dan dikenal pasti oleh Koroner Dorset sebagai pemain bola sepak profesional, Emiliano Sala.

"Pihak keluarga Sala dan juruterbang, David Ibbotson, telah dimaklumkan mengenai berita terbaru itu dan akan terus disokong oleh pegawai perhubungan keluarga yang dilatih khas.

"Ingatan kami kekal buat mereka dalam menghadapi waktu sukar ini.

"Koroner akan meneruskan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dengan bantuan Polis Dorset."

Misi mencari dan menyelamat awal dilakukan pihak Polis Guernsey sepanjang tiga hari pertama hingga 24 Januari lalu.

Syahbandar Guernsey, Kapten David Barker, berkata peluang untuk kedua-dua mangsa berkenaan terselamat adalah amat tipis, namun beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi dan orang awam mula mengumpulkan dana untuk misi pencarian itu diteruskan secara persendirian.

Pesawat malang itu ditemui di dasar perairan Guernsey kelmarin dengan menggunakan kenderaan bawah laut dengan kawalan jauh (ROV) dan satu mayat ditemui bersama bangkai pesawat berkenaan.

Operasi mengenal pasti kemudian dilakukan atas keizinan keluarga Sala dan Ibbotson serta pihak polis.

Dunia bola sepak jelas bersedih dengan kehilangan itu dan orang ramai mula memberikan penghormatan buat Sala sejak berita sedih itu mula didedahkan.

Ribuan bunga diletakkan di perkarangan Stadium Cardiff dan Nantes, dengan 42 gol yang dijaringkan Sala dalam tiga setengah musim menyaksikan dia menjadi pemain kegemaran buat penyokong Nantes.

Selepas pertikaian yang dialami kedua-dua kelab berkenaan, Pengerusi Cardiff, Mehmet Dalman, mengesahkan pihaknya belum membuat sebarang pembayaran yuran perpindahan Sala.

"Kami perlu menghormati keluarga mangsa dan proses penyiasatan.

"Kami akan membayarnya apabila tiba waktu yang sesuai.

"Kami tidak pernah menyatakan bahawa kami tidak akan membayar yuran berkenaan," katanya sebelum mayat Sala ditemui.