Jose Mourinho menjelaskan Manchester United tidak bimbang kerana semakin hampir dengan kelompok tiga pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping menyifatkan mereka jauh sekali daripada penyingkiran.

Kekalahan 3-1 United kepada Manchester City di Stadium Etihad, awal pagi tadi, menyaksikan mereka hanya berkelebihan 12 mata ke atas penghuni tangga ke-18 liga, Cardiff City, selain ketinggalan dengan jumlah mata yang sama kepada The Citizens.

Skuad kendalian Mourinho itu tidak menampilkan sebarang ancaman dalam aksi semalam -- sepakan penalti Anthony Martial dalam separuh masa kedua hadir selaku jaringan sagu hati buat The Red Devils.

Ia merupakan kekalahan keempat United dalam 12 perlawanan manakala hanya memenangi enam daripadanya.

Ternyata persaingan takhta liga buat skuad Mourinho sudah semakin jauh tetapi beliau menjelaskan bahawa mereka tidak akan bersaing daripada penyingkiran.

"Saya tidak berasakan United akan tersingkir daripada EPL," katanya.

Mourinho turut mendedahkan United tidak menampilkan persembahan yang buruk dalam perlawanan itu selepas mengharungi minggu yang sukar.

"Satu pasukan (City) memulakan musim dengan baik dan meneruskannya manakala satu lagi pasukan (United) gagal bermula dengan baik dan mempamerkan peningkatan.

"Jika anda memberikan tumpuan, perlawanan bersifat terbuka selama 80 minit. Saya tidak berasakan tiada sesiapa yang meninggalkan stadium sebelum jaringan ketiga City.

"Dalam tiga perlawanan, City bermain di laman sendiri dan sebaliknya buat kami. Mereka memenangi 6-0, tiada tekanan, bersahaja.

"Perlawanan kedua berdepan Juventus seperti aksi final buat kami. Berdepan salah sebuah pasukan terbaik Eropah, ia mengerah segala kudrat fizikal dan mental pasukan," katanya.

David Silva dan Sergio Aguero membenarkan City mendahului permainan 2-0 sebelum Martial mengurangkan defisit jaringan dalam babak kedua dan Ilkay Gundogan memastikan kemenangan buat The Citizens pada penghujung permainan.