Marouane Fellaini semakin hampir untuk menandatangani kontrak baru dengan Manchester United, namun pengurus, Jose Mourinho, belum bersedia untuk meraikannya.

Dalam aksi awal pagi tadi, Fellaini bangkit dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan 2-1 United ke atas Arsenal di Old Trafford pada masa kecederaan, dengan tiga mata itu mengesahkan tempat The Red Devils dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Perjanjian pemain antarabangsa Belgium itu akan tamat pada akhir musim ini dan dia telah dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus.

Fellaini hanya beraksi dalam empat perlawanan dalam kempen kali ini dan jaringannya ke atas Arsenal merupakan koleksi keempatnya musim ini, namun Mourinho yakin pemain tengah berusia 30 tahun itu akan memuktamadkan masa depannya di Old Trafford.

"Situasinya semakin hampir tetapi dalam bola sepak, hampir sahaja tidak mencukupi," kata Mourinho dalam sidang berita selepas perlawanan.

"Saya fikir kami sangat dekat (mencapai kata sepakat) tetapi saya tidak boleh meraikannya kerana hampir sahaja tidak mencukupi. Saya ingin melihat kertas putih dengan tandatangan United dan Ketua Eksekutif, Ed Woodward, serta tandatangan Marouane di atasnya.

"Saya fikir pemain yang meraikan jaringan dengan meletakkan tangan di dada merupakan isyarat jelas bahawa dia mahu kekal. Saya mahu dia kekal, begitu juga kelab dan saya berasakan dia akan kekal, ia sudah dekat," ujarnya.