Jose Mourinho meletakkan jawatan selaku pengurus Manchester United selepas dua setengah tahun mengemudi kelab itu.

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan kelab itu sebentar tadi, kurang 48 jam selepas kekalahan 1-3 United kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Kekalahan itu meletakkan United di kedudukan keenam liga, 19 mata dibelakang pendahulu, Liverpool, selepas 17 perlawanan.

Kenyataan yang dikeluarkan United itu menyebut: "Manchester United mengumumkan Jose Mourinho telah meninggalkan pasukan berkuat kuasa serta-merta.

"Pihak pasukan berterima kasih kepada Jose di atas segala usaha yang dilakukannya sepanjang bersama Manchester United dan kami mendoakan kejayaannya pada masa akan datang.

"Seorang pengurus sementara akan dilantik bagi menguruskan pasukan sepanjang baki musim ini sebelum Manchester United melantik pengurus sepenuh masa yang baru."

United kini akan memulakan pencarian pengurus keempat sejak Sir Alex Furguson meninggalkan pasukan itu selepas meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2012-13.

Terdapat laporan yang seorang calon pengurus sementara dari luar pasukan akan dilantik bagi mengemudi pasukan sehingga tamat musim ini dan United berharap individu itu dapat tiba sebelum pertemuan menentang Cardiff City, Sabtu ini.

Michael Carrick yang menyertai barisan kejurulatihan Mourinho selepas bersara sejak musim lalu akan mengetuai sesi latihan buat masa ini.