Jose Mourinho bersikap tenang dalam usaha mendapatkan penggempur Arsenal, Alexis Sanchez, dengan Manchester United menjadi pilihan untuk memancing pemain Chile itu.

Sanchez kerap dikaitkan dengan Manchester City untuk pertemuan semula dengan bekas bosnya di Barcelona, ​​Pep Guardiola, tetapi pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak dapat menyempurnakan langkah tersebut pada Ogos lalu.

Perkhabaran perpindahan ke Old Trafford difahamkan telah berkembang secara dramatik sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan City dilaporkan telah menarik diri daripada tuntutan gaji Sanchez dan ejennya, Fernando Felicevich, selain tidak begitu bersetuju dengan yuran yang diminta Arsenal.

Semalam, Chelsea turut dilaporkan menyediakan tawaran terakhir untuk merampas rancangan United itu sementara Mourinho menjangkakan perpindahan lebih lanjut akan berlaku dalam beberapa hari mendatang.

"Saya tidak yakin tetapi saya bukanlah tidak percaya, saya hanya bersikap tenang," kata pengurus berkenaan dalam sidang akhbar selepas menang 3-0 ke atas Stoke City.

"Dia pemain Arsenal, dia boleh kekal di sana, namun dia boleh berpindah dan jika dia angkat kaki, saya fikir kami mempunyai peluang.

"Kelab besar lain juga mungkin berminat. Siapa tahu?"

United merapatkan jurang dengan City dalam saingan di puncak liga kepada 12 mata berikutan kekalahan pertama yang dialami anak buah Guardiola itu semalam.

Liverpool menang 4-3 untuk berada dalam kalangan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini - - begitupun Mourinho enggan mengambil pusing mengenainya.

"Saya tidak menonton aksi Liverpool menewaskan Manchester City, ia tidak mengubah apa-apa," katanya mengenai pemburuan mahkota EPL.

"Jarak mata itu jarak yang penting, saya pernah berada di tempat itu sebelum ini. Situasi adalah dalam kawalan mereka," tambahnya.

Henrikh Mkhitaryan diketepikan untuk menghadapi Stoke di tengah-tengah spekulasi dia mungkin berhijrah ke Arsenal sebagai salah satu usaha mendapatkan Sanchez dan Mourinho memberitahu Sky Sports bekas tonggak Borussia Dortmund itu mungkin dilepaskan bulan ini.

"Dia seorang pemain yang saya gemari, berkualiti tinggi," tambahnya. "Adakah dia akan terlibat dalam satu kesepakatan untuk meninggalkan kami? Ia mungkin tetapi mungkin juga dia akan kekal.

"Saya hanya cuba melindungi dia dan pasukan, jadi marilah pastikan dia kekal bersama kami atau dia meninggalkan kami. Pasaran adalah terbuka."